Friday, August 12, 2011

Risalah Ramadhan II: Di Sebalik Ramadhan

DI SEBALIK RAMADHAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Muslimin muslimat yang dihormati,
Ketika Ramadan menjelang, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.”

Hadis di atas adalah sebahagian hadis yang membicarakan kelebihan-kelebihan yang terdapat di bulan Ramadhan. Diantaranya ibadah sunat yang dilakukan pada bulan Ramadhan menyamai ganjaran pahala ibadah wajib yang dilakukan pada bulan yang lain. Demikian pula pada bulan Ramadhan terdapat malam istimewa iaitu Lailatul Qadar yang menjanjikan kebaikan yang amat banyak.

Muslimin muslimat yang dikasihi,
Alhamdulillah, hampir separuh dari kewajipan berpuasa Ramadhan telah kita laksanakan. Semoga Ramadhan yang telah kita tingglkan mampu menjadi kayu pengukur untuk kita terus mempertingkatkan amal dan mutu ibadah untuk masa-masa yang berbaki. Sebaiknya kita mengoreksi adakah Ramadhan kali ini sama seperti Ramadhan-ramadhan yang lalu? Atau terdapat sedikit peningkatan berbanding Ramadhan terdahulu? Alhamdulillah, sekiranya peningkatan merupakan jawapan terhadap persoalan di atas.

Muslimin muslimat yang dimuliakan,
Sebagaimana yang telah kita nyatakan lalu bahawa Ramadhan merupakan bulan untuk memperbaiki diri dari terjebak kepada perkara-perkara dosa, haram dan tidak mendatangkan faedah. Seterusnya membiasakan diri kita dengan perkara-perkara wajib, sunat dan perkara baik yang dituntut oleh syarak. Ringkasnya, diantara tujuan kefarduan Ramadhan ialah:

Pertama: Meraihkan kesempurnaan iman dan ketakwaan. Inilah tujuan utama ibadah Ramadhan sebagaimana yang tercatat di dalam mafhum surah al-Baqarah ayat 183. Begitu juga takwa merupakan sifat kesempurnaan dan syarat kemulian manusia di sisi Allah SWT sebagaimana yang tercatat di dalam mafhum surah al-Hujurat ayat 13.

Kedua: Menyedarkan umat manusia dan umat Islam khususnya akan kedudukan dan kemuliaan al-Quran. Allah SWT telah mengingatkan di dalam mafhum surah al-Baqarah ayat 185 bahawa Al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadhan bertujuan memberi petunjuk, ianya sebagai bukti kebenaran, petunjuk dan pembeza di antara haq (perkara benar) dan yang batil (perkara salah). Justeru, segala permaslahan umat seharusnya dirujuk kaedah penyelesaiannya melalui al-Quran dan sumber perundangan Islam yang menuruti al-Quran iaitu al-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Muslimin muslimat sekalian,
Semoga segala kebajikan Ramadhan kita diterima Allah SWT. Semoga kita digolongkan dikalangan orang-orang bertakwa. Selamat beribadah dan menjana takwa anda dengan jayanya. Wassalam.