WAN MUHAMMAD WAN HUSSAIN MUFTI KESAYANGAN SULTAN PERAK
Oleh: Talib Samat
Pelbagai pendapat timbul siapakah sebenarnya Mufti Kerajaan Perak yang pertama. Ada orang berpendapat Mufti Kerajaan Perak yang pertama adalah pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah ke-Ill, muftinya ialah Daeng Selaili atau Pajung Luwuk Daeng Sedili. Beliau mempunyai beberapa gelaran seperti Haji Besar, Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan, dan Sri Maharajalela Pancung Tak Bertanya. Makamnya di tebing sungai, Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Pendapat lain menyebut, Mufti Perak yang pertama ialah Haji Wan Muhammad Wan Hussain. Tempoh masa beliau menjadi Mufti Perak juga ada pertikaian pendapat. Wan Mohd. Saghir Abdullah dalam tulisannya “Haji Wan Muhammad Mufti Sultan Perak Darul Ridzuan” menyebut, “Ada yang menyebut tahun 1887M-1916M, pendapat lain menyebut hingga tahun 1917M dan ada pula yang menyebut mulai tahun 1918M hingga tahun 1925M.”
Nama lengkap tokoh ini ialah Haji Wan Muhammad @ Ahmad bin Haji Wan Hussain bin Haji Wan Muhammad Nur Marbo al-Fathani. Kampung Marbo atau Merebo di Patani adalah asal-usul datuk nenek beliau. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, Mukim Merbol, Pasir Putih, Kelantan. Kampung Marbol, Pasir Putih, Kelantan diberikan nama demikian setelah keluarga tersebut berhijrah dari Marbo atau Merebo, Pattani. Tarikh kelahiran dan kematiannya juga ada pertikaian di kalangan pengkaji. Ada yang mengatakan Haji Wan Muhammad lahir pada tahun 1848M/1264H, riwayat lain mengatakan 1852M/1268H. Beliau meninggal dunia di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak pada han Rabu, 11 Jumadil Akhir 1348 H/13 November 1929M, riwayat lain menyebut pada 11 November 1929M.
Norul Ashikin Abdullah dalam tulisannya “Tok Ayah Perak Kesayangan Sultan” menulis bahawa Haji Wan Muhammad mendapat pendidikan awal daripada Tuan Hassan Besut (Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani), Tuan Pangkalan Tangga (Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani) dan Saiyid Abdus Salam. Menurut Wan Mohd. Saghir Abdullah, yang dimaksudkan dengan Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani, itulah ayah kepada ulama terkenal Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani penyusun kitab Mathla al-Badrin. Ertinya beliau mendapat pendidikan dan pengajian Islam daripada beberapa orang tokoh terkenal di Kelantan yang kemudiannya heliau melanjutkan pelajarannya di Pattani dan di beberapa buah pondok yang terdapat di sana waktu itu. Di antara tokoh-tokoh yang selalu dihubungkan dengan tokoh ini di Petani termasuklah Sheikh Daud Fatani, seorang pengarang kitab yang terkenal. Dipercayai beliau belajar di Pondok Bendang Daya dan Pondok Bauh dan lain-lain.
Selepas sekian lama menuntut dengan beberapa tokoh pendidik terkenal tanah air, beliau kemudian menyambung pengajiannya ke Makkah bagi mendalami ilmu agama dalam pelbagai bidang. Guru-gurunya di Makkah sangat ramai termasuk kepada Syeikh Ahmad al-Fathani yang umurnya jauh lebih muda daripada beliau.
Ketika di Makkah juga beliau berkesempatan berguru dengan Othman Senik (ulama Kelantan yang kemudian menjadi Mufti Kerajaan Pahang) selain guru jawi dan Arab yang terkenal di Tanah Suci pada zamannya. Selain mendalami pelbagai ilmu akhirat dan perundangan Islam, Wan Muhammad Wan Hussain juga aktif mendalami ilmu kebatinan termasuk ilmu pendekar atau seni mempertahankan diri untuk keselamatan diri sendiri dan keluarga.
Selepas menamatkan pengajian di Makkah, beliau kembali ke Kelantan dan bergerak aktif bersama beberapa orang ulama tersohor yang sezaman dengannya menubuhkan institusi pondok ketika itu. Menurut Norul Ashikin Abdullah dalam tulisannya “Antaranya ialah Tok Bachok Pasir Mas, Tok Kemuning Tua, Senik Salleh, Seligi, Pasir Puteh, Muhammad Akib Sharif (Pangkal Gerap, Pasir Mas), Yusuf Husain (Tubir Kubor Gertak Kecupu, Kota Bharu), Nik Wan Daud Wan Sulaiman (Mufti Kerajaan Kelantan pertama), Muhammad Said Khatib Jamaluddin (Datuk Sen Diraja) serta ramai lagi.” (Harian Metro, ii Ogos 2001: 12)
Kehidupan dan perjuangan seorang ulama atau guru mahupun pendakwah tidak akan terkecuali daripada hasrat untuk berhijrah ke tempat lain untuk menyebarkan ilmu agamanya serta tidak terbatas kepada satu-satu tempat sahaja. Begitulah halnya peta hidup yang mewarnai Haji Wan Muhammad Wan Hussain. Sebagaimana beberapa tokoh ulama Kelantan lain, Wan Muhammad adalah antara ulama yang berhijrah dari Kelantan ke negeri Perak selepas berlakunya bencana ‘Angin Besar’ yang dipercayai berlaku sekitar pertengahan tahun 1880-an. Tokoh ulama ini lebih cenderung berhijrah ke negeri Perak atas pelawaan dua orang sahabatnya juga yang herasal dan sana, iaitu Tuan Guru Yunus Muhammad Akib.
Mengikut risalah Suara Majlis terbitan Jabatan Hal Ehwal Ugama Negeri Perak bertarikh 1 Syawal 1403/12 Julai 1983 yang bertajuk “Tuan Haji Wan Muhammad Ulama Dalam Kenangan” ada beberapa kisah menarik tentang penghijrahannya ke negeri Perak Darul Ridzuan. Risalah itu menyebutkan, “Setelah menamatkan pengajian dan pulang sebentar ke kampung asalnya beliau berkahwin sehingga mendapat seorang anak dan kemudiannya barulah beliau berhijrah ke negeri Perak. Penghijrahan beliau dipercayai atas undangan sahabatnya yang dikatakan berada di Kampung Bandar Teluk Intan dan juga Tuan Haji Mohd. Yunus Malim Nawar. Tuan ini datang dari Kelantan dengan berjalan kaki. Apabila beliau sampai ke Kampung Bandar, kemudiannya telah berpindah sementara ke Malim Nawar dan berkahwin di sana. Kemudiannya Tuan Haji Wan Muhammad telah berpindah ke Sayong, Kuala Kangsar yang kebetulannya pada waktu itu Istana Persemayaman Duli-duli Yang Maha Sultan Perak ada di sana. Perpindahannya ke Sayong adalah hasil dan penyusunan kerja antaranya dengan dua orang sahabatnya iaitu tuan yang berada di Kampung Bandar serta Tuan Yunus Malim Nawar.”
Manakala menurut catatan Ustaz Wan Yason bin Hj. Wan Yusof bin Hj. Wan Mohd. yang merupakan cucu tokoh ini mempunyai kisah yang menarik tentang penghijrahan tokoh ini ke negeri Perak pada masa pemerintahan Sultan Yusuf Sharifuddin Muzafar Shah IV (Sultan Perak ke-27) (1886-1887M). Cucunya, Ustaz Wan Yason menulis dalam catatannya, “Mengikut cerita dari ayah, bapanya berasal dan Kelantan. Beliau datang ke Perak masa pemerintahan Sultan Yusof Shariffudin Muzaffar Shah (1886- 1887) merentasi Banjaran Titiwangsa. Di Perak dia telah singgah beberapa lama di Tanjung Tualang. Dari situ beliau datang menetap di Lembah Masjid Ubudiah, Bukit Chandan. Bagi meneruskan penghidupan dan perjuangannya melalui didikan agama, beliau telah mendirikan sekolah pondok dan surau. Sekolah pondoknya itu mendapat sambutan dan berkembang biak. Almaklum, beliau seorang yang alim lagi bijaksana membimbing anak buahnya.”
Proses pengajaran dan aktiviti dakwah Haji Wan Muhammad Wan Hussain sesudah berhijrah dan menetap di negeri Perak mempunyai urutan peristiwa yang menarik. Sumber yang tidak dipertikaikan, dari cucu beliau bernama Haji Wan Yason bin Haji Wan Yusof bin Haji Wan Muhammad, tulisan pada tarikh 2 Ramadan 1416H/2 Februari 1996M, beliau mendengar dari ayahnya, bahawa Haji Wan Muhammad datang ke Perak pada masa pemerintahan Sultan Yusof Syarifuddin Muzaffar Syah (1886M-1887M). Sultan Yusof dan selanjutnya pengganti Baginda Sultan Idris Mursyidul A’zam Syah (1887M-1916M), selanjutnya Sultan Iskandar Syah (menaiki takhta tahun 1918M). Sultan Idris tersebutlah yang melantik beliau menjadi Mufti Perak. Ketiga-tiga Sultan tersebut pernah belajar dan berguru ilmu agama kepada Haji Wan Muhammad. Kemudian diikuti pula oleh para pembesar istana.
Haji Wan Muhammad Wan Hussain pertama kali datang ke Perak mengajar di Tanjung Tualang dan selanjutnya mendirikan dan membina pondok pengajian dan surau di Lembah Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Di tempat tersebutlah telah melahirkan ramai ulama termasuk ulama besar yang terkenal Syeikh Idris al-Marbawi, pengarang Kamus Al-Marbawi yang termasyhur itu. Syeikh Idris al-Marbawi berasal dari Lubuk Merbau, Perak.
Kisah-kisah kejayaan beliau berhasil mengajar ilmu agama kepada tiga orang Sultan Perak sepanjang berada dan menetap di negeri Perak sewajarnya menjadi contoh teladan dan motivasi kepada kita semua. Kejayaan boleh diperolehi sekiranya ada usaha, kerja keras dan kesungguhan. Dalam risalah Suara Majlis terbitan Jabatan Hal Ehwal Ugama Negeri Perak keluaran 1 Syawal 1403/12 Julai 1983 bertajuk “Tuan Haji Wan Muhammad Ulama Dalam Kenangan” menyebutkan:
“Pada mulanya Tuan Haji Wan Muhammad mengajar sedikit-sedikit di tempat-tempat yang berhampiran dengan kampung tempat tinggalnya. Tetapi kemudiannya beliau berjaya pula menyampaikan pengajarannya di Istana Duli Yang Maha Mulia Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah Marhum Ghafirulah waktu itu. Beliau mula mengajar di istana itu dianggarkan pada awal tahun 1886 kerana tidak berapa lama beliau mengajar di Istana, Sultan Idris Mursyidil Azam Shah Rahmatullah Alaihi menaiki takhta Kerajaan Perak. Terdapat satu cerita yang menarik bagaimana Tuan ini berjaya mendapat perhatian Ke bawah Duli Tuanku. Kisah bermula dengan jamuan dalam bulan puasa di mana Tuan ini dijemput hadir ke Istana untuk berbuka puasa dengan suatu majlis lain yang ditentukan tetapi oleh kerana majlis itu tidak dapat diadakan, maka Tuan ini telah menggantikan majlis hiburan itu dengan majlis Membaca Quran dan Sebuah Kitab Tasauf. Di dalam kitab yang dlibaca itu menyebutkan juga bagaimana tanggungjawab seorang ulama selaku pewaris Nabi dan bagaimana pula kewajipan seorang Ketua Negeri seperti Raja, mengikut kehendak Islam. Baginda sultan sangat tertarik dengan cara itu dan kemudiannya baginda mengarahkan Tuan ini supaya mengajar di Istana itu. Keadaan ini berjalan selama lebih kurang setahun. Kemudiannya apabila Baginda Sultan Idris Mursyidil Azam Syah menaiki takhta Kerajaan Perak baginda menitahkan supaya Tuan Haji Wan Muhammad melakukan semua aktiviti yang pernah dilakukan di zaman Sultan yang lalu.
Ditambahi pula lagi baginda menitahkan supaya Tuan ini mengajar di beberapa tempat di sekitar Istana. Apabila Istana di Sayong dipindahkan ke Bukit Chandan maka Tuan ini telah dibawa oleh baginda bersama ke Bukit Chandan dan baginda telah menyerahkan sebidang tanah untuk Tuan dan anak cucunya tinggal. Tanah itu ialah di kawasan Lembah Masjid Bukit Chandan sekarang yang terus didiami oleh anak cucu tuan itu. Secara umum Tuan berperanan berlegar di sekitar Istana, di samping beliau juga telah membuka sebuah surau dengan kesan pondok-pondok yang masih kekal bangunannya hingga sekarang di Lembah Masjid Bukit Chandan Kuala Kangsar. Surau atau Madrasah itu kemudiannya diberi nama oleh anak Tuan itu (Tuan Haji Wan Abdul Rahman atau terkenal dengan panggilan Pak Haji Wok), dengan nama Madrasah Muhammadiah. Sehingga sekarang masih didapati kesan-kesan pondok yang dibina di sekitar kawasan Madrasah itu”.
Catatan dalam risalah Suara Majlis itu menyebutkan juga, “Apabila Al-Marhum Sultan Iskandar menaiki takhta Kerajaan Perak dalam tahun 1918 baginda melantik Tuan Haji Wan Muhammad sebagai Guru Ugama Baginda dan Al-Marhum itu digelar juga oleh baginda sebagai Mufti. Memanglah Tuan ini dikenali di daerah Kuala Kangsar sebagai Haji Wan Muhammad Mufti. Beliau bolehlah dikatakan sebagai Mufti Sultan yang pertama dalam negeri Perak ini. Semasa hayatnya Tuan pernah mengarang sebuah kitab di zaman Al-Marhum Sultan Iskandar tetapi tidak sempat dicetak. Sebagai menjaga ukhuwwah dan perpaduan dalam kerja-kerja dakwah Tuan dikatakan sentiasa berhubung dengan Tuan Yunus Malim Nawar dan sahabatnya yang tinggal di Kampung Bandar Teluk Intan.”
Cucunya,Ustaz Wan Yas’on bin Hj. Wan Yusof dalam catatannya bertarikh 2 Februari 1996/12 Ramadan 1416 Hijrah, Haji Wan Muhammad Wan Hussain mempunyai pengalaman menarik dan berguna untuk direnungi sepanjang pengalamannya mengajar ilmu agama kepada beberapa orang Sultan Perak. Beliau menyebutkan dalam catatannya, “Pada satu ketika, Sultan Yusof berguru kepadanya dan terus berdamping dengannya dengan keluarga istana sekali. Bila mana keluarga diraja berdamping dengannya maka sekolah pondoknya berkembang dan nama beliau diketahui orang di seluruh tempat. Beliau mengajar agama di merata tempat dan mendapat sambutan yang hangat sehingga ramai pembesar istana merasa iri hati.
Salah seorang muridnya yang ternama, yang menyusun Kamus Marbawi adalah muridnya. Selepas Sultan Yusof, tempatnya diganti oleh Sultan Idris Murshidul A’azam Shah (1887-1916). Sultan Idris telah melantik beliau menjadi Mufti pertama negeri Perak. Haji Wan Muhammad (Tok Ayah) disukai oleh sultan dan daripadanya untuk mendapat nasihat dan kaca mata sudut agama apa saja yang berhubung dengan agama Islam akan dirujuk kepadanya dan pada masa itu pengaruh lnggeris sangat kuat dan payah untuk ditolak. Pernah satu ketika masa Perang Dunia Pertama, pernah kerajaan lnggeris meminta Sultan supaya anak muda dikerah bagi membantu kerajaan Inggeris menentang Turki. Sultan pernah meminta nasihat darinya supaya hasrat Inggeris ditunaikan, tetapi Tok Ayah telah membantah hasrat itu.”
Beberapa catatan dan tulisan menyebutkan, sewaktu menetap di Bukit Chandan, Haji Wan Muhammad dihadiahkan sebidang tanah oleh Sultan Perak sebagai tapak kediaman untuk beliau sekeluarga bagi meneruskan kegiatan mengajar. Di sekitar kediaman baru inilah terbinanya Madrasah Muhammadiah serta kampus perpondokan dan beliau sendiri ikut mengajar selain di istana yang begitu terkenal sebagai guru agama sultan Perak khususnya yang memerintah ketika itu.
Pelajarnya dari serata tempat dan daerah, antaranya ialah Wan Muhammad Wan Puteh dan Pasir Mas, Kelantan, Husain Awang Hamat (Pangkalan Pauh, Pasir Puteh) dan Muhammad Idris Abdul Rauf (Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak) pengarang Kamus Marbawi, kamus Arab Melayu yang lengkap dan terkenal.
Pengajiannya di sekolah pondoknya berjalan seiring dengan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Mufti pertama di negeri Perak sekitar tahun 1887-1917 tetapi ada sumber lain yang menyebut 1918-1925. Norul Ashikin Abdullah menulis “Ulama yang juga dikenali sebagai Tok Ayah Perak ini berkahwin beberapa kali, sebab itulah anaknya hampir 40 orang semuanya dan dihantar menuntut di Makkah dengan biaya Sultan Perak.
Ada sebahagian daripada anaknya berjaya meneruskan perjuangannya berkhidmat dan berjasa kepada masyarakat setempat melalui kegiatan dakwah Islamiah yang diwarisi mereka.” (Harian Metro, 11 Ogos 2001:12). Di antara anak-anak Haji Wan Muhammad bin Wan Hussain yang berjaya ialah Haji Abdullah Zawawi, bekas Kadi Daerah Tapah, Haji Wan Yusuf bekas Imam Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan sebagainya.
Kegigihan Haji Wan Muhammad bin Wan Hussain berdakwah memang hebat dan tersendiri yang perlu diteladani oleh pendakwah hari ini betapa perjuangan menyebarkan ajaran Islam di kalangan sesiapa sahaja begitu sebati dan mekar menyala dijiwanya. Norul Ashikin Abdullah sehubungan aspek ini menulis, “Wan Muhammad Wan Hussain adalah ulama Kelantan yang gemar mengembara sambil berdakwah dan beliau akan singgah di satu-satu tempat untuk memberi nasihat dan peringatan walaupun sepatah. Berkat kesungguhannya merantau serta usaha gigihnya menyebarkan lslam beliau berjaya mengislamkan beberapa Orang Asli dan membimbing mereka menjadi umat Islam yang bertakwa.” (Harian Metro, 11 Ogos 2001: 12)
Cucunya Ustaz Wan Yason bin Hj. Wan Yusof bin Hj. Wan Muhammad yang juga merupakan seorang guru agama di Ipoh, Perak menceritakan pebagai aspek tentang datuknya. Dalam catatannya, Ustaz Wan Yason bin Hj. Wan Yusof bin Hj. Wan Muhammad menulis, “Menurut cerita dari Haji Wan Yusof bahawa negeri Perak masa pemerintahan Sultan Abdullah bahawa negeri Perak merupakan lubuk emas, rakyatnya hidup mewah, sebab itu ramai orang berhijrah ke sini. Tuan Haji Wan Muhammad datang ke Perak meredah hutan belantara Gunung Titiwangsa sampai ke Perak. Haji Wan Muhammad disayangi oleh kawan sehingga ke sultan. Bila mana diketahui beliau datang mengajar di sesuatu tempat maka dia dikerumuni dan disanjung sehingga tempiasnya jatuh kepada anaknya Haji Wan Yusof. Di samping itu, ada pula yang merasa iri hati kerana kebolehannya.”
Haji Wan Muhammad Wan Hussain kembali ke rahmatullah pada 11 November 1929 dalam usia 80 tahun dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran dengan Makam Al-Ghufran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Ustaz Wan Yason bin Hj. Wan Yusof bin Hj. Wan Muhammad dalam catatan terbarunya menyebutkan perihal watak dan perwatakan datuknya. Beliau menulis, “Haji Wan Muhammad berbadan tegap, tinggi, berkulit cerah bagaikan rupa bangsa Arab, berwibawa, petah bercakap dan mesra dengan sesiapa sahaja terutama semasa dia memberi kuliah agama kepada orang-orang kampung di persisiran Sungai Perak. Semasa kedatangannya bila dijemput di sesuatu tempat ramai orang-orang menyambut kehadirannya. Sayang dan hormat orang kampung kepada beliau melimpah kepada anaknya, Tuan Haji Wan Yusof apabila budak ini bersamanya. Sememangnya perangai tuan guru ini membawa anak-anaknya ikut sama. Oleh kerana rupa dan kelebihan luar biasa inilah membuatkan duli tuanku dan orang ramai menyukainya.”
Cucunya, Ustaz Wan Yason bin Hj. Wan Yusof bin Hj. Wan Muhammad dalam catatannya yang menarik untuk renungan menulis, “Kehidupan keluarga Tok Ayah sangatlah moncah sekali kerana disayangi Sultan. Istana raja pada masa itu ialah Istana Hilir (tapak Taman Bukit Chandan) sekarang. Sultan dan Tok Ayah bagaikan isi dengan kuku, sebab itu rezeki yang berlebihan di istana akan sampai ke kaki tangga rumah Tok Ayah. Pada musim buah, banyaklah buah-buahan yang dihantar oleh anak murid Tok Ayah ke rumahnya seperti durian, rambutan dan bermacam-macam lagi.
Tok Ayah telah lama meninggalkan kita, benihnya tetap subur dan tersebar jauh. Lagi lama umur ini lagi ramai dan melebarlah zuriatnya. Semoga anak cucu ini mendapat rahmat dan Allah.” Perkampungan Haji Wan Muhammad yang terletak di Lot 3687 masih wujud sehingga sekarang. Tapak rumah mi terletak di atas sebidang tanah seluas 7.3.23 ekar. Lot 3687, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dianugerahkan oleh Sultan. Ianya terletak di persisiran Sungai Perak, persempadanannya kawasan Perkuburan Diraja dan Masjid Ubudiah di atasnya. Sebidang tanah ini tidak tercatat nama Haji Wan Muhammad kerana dia tidak berhajat untuk mendapatkannya atau kerana dia lupa mengusahakannya.
Ustaz Wan Yason bin Hj. Wan Yusof bin Hj. Wan Muhammad menyebutkan lagi dalam catatannya menulis, “Mengikut kata anaknya, Tuan Haji Wan Yusof, adalah elok tidak jadi milik bapanya kerana ditakuti menjadi perebutan pusaka anak-anak cucu beliau pada masa hadapan. Kini tanah seluas itu boleh didiami oleh sesiapa sahaja.” Dalam catatannya tentang nostalgia keindahan rumah datuknya itu beliau menulis, “Rumah Haji Wan Muhammad besar juga bagaikan setengah rupa Istana, dua tingkat konkrit simen di bahagian bawah. Sebuah surau taraf masjid yang cantik terbina di sini berwarna kuning raja di luaran dan warna hijau di dalaman dan beratapkan genting. Ianya adalah wakaf Duli Yang Maha Mulia Sultan kepada Tuan Haji Wan Muhammad sebagai tempat beribadat dan pengajian agama.
Banyak pondok-pondok didirikan di sekeliling surau ini. Penuntut-penuntut yang datang dari jauh datang menimba ilmu pelajaran agama dari tuan guru ini di situ. Pokok-pokok ditanam seperti pokok durian, manggis, rambutan, kelapa dan lain-lain bagaikan taman di sebuah kampung yang terancang. Ramai sekali pelajar menuntut ilmu di situ dan ianya bagaikan satu institusi agama yang hebat di rantau Kuala Kangsar.
Duli Yang Maha Mulia Sultan memerintahkan rakyatnya supaya menuntut ilmu pengetahuan terutama pelajaran agama seperti adanya Sekolah Arab Madrasah Idrisiah, Sekolah Arab Mariah dan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjong Malim. Maka dan disebabkan itu, tuanku mengharapkan tanah sebidang yang diberikan itu dijadikan seperti institusi pondok sebagaimana pondok-pondok yang terdapat di negeri Kelantan dan Pattani.”
Sekiranya cucu Haji Wan Muhammad bin Wan Hussain, Ustaz Wan Yason mi pernah bertugas sebagai guru agama di Ipoh, Perak, maka saudaramara tokoh ini masih banyak bertaburan di Kelantan dan di seluruh negara. Salah seorangnya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz bin Omar yang kini menetap di 110, Jalan Merbau, Kota Bharu, Kelantan. Hubungan Ustaz Haji Abdul Aziz bin Haji Omar dengan Haji Wan Muhammad bin Wan Hussain ini berlaku bila bapanya itu, Ustaz Haji Omar bertemu pula jodoh dengan salah seorang anaknya, Hajjah Wan Saidah sebagai isteri keduanya sesudah kematian isteri pertamanya, Hajjah Khadijah binti Ali. Ustaz Haji Abdul Aziz bin Haji Omar dalam catatannya sendiri menulis, “Kemudian Tuan Guru Haji Omar bertemu pula jodoh dengan Hajjah Wan Saidah bin Haji Muhammad Marbol bin Haji Wan Hussain yang berasal dan Kampung Saring Mukim Marbol, Pasir Puteh adalah seorang yang alim dan telah meninggal dunia di Bukit Chandan Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1929 setelah bersara dari jawatan Mufti Kerajaan Perak dan Guru Istana kepada dua orang Sultan Perak iaitu Sultan Yusoff Sharifuddin Muzzafar Shah dan Sultan Idris Marshidul Adzam Shah.”
Ustaz Haji Abdul Aziz bin Haji Omar adalah juga penulis beberapa buah teks Sekolah Rendah Negeri Kelantan dan buku-buku teks untuk Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan dan Menengah Kebangsaan Agama Malaysia dari tahun 1961 hingga 1999 iaitu Pelajaran Tajwid untuk Tahun 6, Pelajaran Fekah untuk tahun 4, Pengetahuan Islam untuk Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, Asas Pendidikan Islam untuk Sekolah Menengah Agama Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, buku Asas Akidah Islam untuk pengajian dan kuliah di masjid-masjid, surau-surau dan bacaan umum yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan tahun 1993. Beliau juga menulis buku Pedoman Al-Tertil dalam Ilmu Tajwid untuk pengajian dan kuliah di masjid-masjid, surau-surau dan bacaan umum yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan tahun 1998.
Di antara anak muridnya yang terkenal ialah Muhammad Uthman El-Muhammady, Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan dan sebagainya. Ustaz Haji Abdul Aziz bin Haji Omar semasa hayat Ustaz Yusof Zaky Yaacob ikut sama membantu tokoh itu menterjemah kitab Fi Zilalil Quran karangan terbesar Syed Qutb yang tebalnya berjilid-jilid itu.
Menurut catatan Ustaz Wan Yason bin Hj. Wan Yusof bin Wan Muhammad “Tok Ayah beristeri ramai, sebanyak 9 orang.” Menurut carta keluarga Haji Wan Muhammad yang disusun oleh Ustaz Wan Yason, di antara isteri-isteri Wan Muhammad ialah Cik Idah (memperoleh anak Wan Rogayah), Latifah (memperoleh anak Wan Ummi Kaithum), Zainab (memperoieh anak Wan Yusof, Wan Fatimah, Wan Asiah, Wan Zawiah, Wan Saedah, Wan Mohd. Nor, Wan Hamidah dan Wan Hafsah), Aishah (Wan Abd. Rahman, Wan Jawahir, Wan Hindun, Wan Sulaiman, Wan Abdullah Zawawi, Wan Yang Fatimah, Wan Othman, Wan Zainab, Wan Hassan dan Wan Habibah), Zaharah (memperoleh anak Wan Hussein, Wan Abd.Halim, Wan Mohd. Saman dan Wan Abd. Rauf dan sebagainya. Menurut catatan Ustaz Wan Yason lagi salah seorang anak Haji Wan Muhammad bin Wan Hussain iaitu Wan Abd. Rahman iaitu hasil perkahwinannya dengan Aishah mempunyai anak bernama Wan Radzi. Wan Radzi inilah yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Wan Zaleha yang merupakan bekas pengacara Majalah Tiga di stesen TV3 yang terkenal.
Sewaktu tulisan ini ditulis Ustaz Wan Yason, cucu Haji Wati Muhammad (Mufti Perak pertama) yang dilahirkan pada tahun 1941 di Perak Darul Ridzuan kini sudah berusia 66 tahun. Beliauiah di antara pemelihara dan pelestari bahan-bahan tentang Mufti Perak pertama, Haji Wan Muhammad bin Wan Hussain agar terus diketahui dan diingati oleh umat Islam di Malaysia sepanjang zaman yang sewajarnya dihargai agar nama, jasa dan sumbangan alim ulama berjasa ini sentiasa segar mewangi dalam lipatan sejarah bangsa Melayu dahulu, sekarang dan akan datang.
Nukilan: Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1, (Selangor: Pekan Ilmu Sdn. Bhd., 2010M), Tokoh ke-16, m.s. 141-151.