Saturday, August 27, 2011

Risalah Ramadhan III: Berlalunya Ramadhan

BERLALUNYA RAMADHAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kaum Muslimin yang dikasihi,
Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”

Ramadhan iaitu bulan keberkatan, rahmat, keampunan dan kelepasan dari api Neraka sudah hampir ke penghujungnya. Syaitan-syaitan kian dilepaskan. Manakala pintu-pintu neraka kian dibuka. Mudah-mudahan dengan kejituan iman dan takwa yang kita bina pada Ramadhan kali ini memungkinkan kita dalam berhadapan dengan cabaran dan dugaan kehidupan. Kita berdoa semoga kita kembali bertemu dan bertamu dengan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Amin.

Kaum Muslimin yang dihormati,
Belum pun Ramadhan berada di pertengahan apatah lagi berada di penghujungnya, lagu-lagu dan ucapan raya atau Syawal sudah kedengaran di corong-corong radio. Siang dan malam lagu-lagu yang ada hubungkait dengan hari raya dikumandangkan. Saluran media massa seperti TV dan lain-lain turut memberikan sumbangan mendorong masyarakat agar ternanti-nantikan Syawal lebih dari segalanya.

Tiada salahnya menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan, persiapan dan sebagainya. Bahkan syarak sendiri meletakkan hari raya sebagai hari untuk bergembira dan menunjukkan rasa riang serta bahagia. Gembira, riang dan bahagia kerana dapat melaksanakan ibadah Ramadhan dengan jayanya. Namum, segalanya mestilah dalam batasan dan kehendak Yang Maha Esa.

Kaum Muslimin yang dimuliakan,
Di awal risalah ini telah dibawakan ayat al-Quran berkaitan tujuan Ramadhan difardukan iaitu membina, menjana dan mengukuhkan ketakwaan dalam setiap individu. Seterusnya ayat al-Quran berikutnya menyatakan ganjaran Syurga seluas langit dan bumi untuk mereka yang bertakwa.

Diantara kelebihan dan faedah yang dapat kita perolehi dari ibadah puasa dan Ramadhan adalah seperti berikut:

Pertama: Ramadhan mengingatkan kita bahawa al-Quran merupakan rujukan utama umat Islam dalam segala urusan kehidupan. Apabila umat Islam semakin jauh dari al-Quran, maka semakin dekat mereka kepada kesesatan dan kebinasaan.

Kedua: Ramadhan membentuk kita agar sentiasa patuh pada suruhan dan tegahan Allah SWT. Sebagai contoh, puasa kita akan menjadi sia-sia (hanya lapar dan dahaga) kerana tegahan dan perkara yang membatalkan. Begitulah juga kehidupan ini akan menjadi sia-sia tanpa patuh kepada suruhan dan tegahan Tuhan.

Ketiga: Ramadhan melatih kita agar berakhlak dengan akhlak terpuji dan jauh dari akhlak terkeji. Dengan terhasilnya akhlak terpuji maka lahirlah masyarakat yang aman dan harmoni.

Kaum Muslimin sekalian,
Demikianlah beberapa perkara yang dapat disimpulkan dari tujuan ibadah puasa dan Ramadhan yang difardukan. Semoga kita sentiasa cemerlang di dunia dan akhirat. Semoga kita sentiasa di dalam rahmat Tuhan. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menyambut Syawal. Semoga kita akan terus berada di dalam ketaatan kepadaNya. Wassalam.