Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Wednesday, August 24, 2016

Pemahaman Sebenar Ungkapan Imam Syafie Ra "Izā Ṣaḥḥa al-Ḥadīth Fahuwa Madhhabī" "إذا صح الحديث فهو مذهبي"

[Khutbah Jumaat, Pusat Islam, UKM, 19 Ogos 2016]

Oleh
Muhammad Adib Samsudin
Mohammad Zaini Yahaya
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam
UKM

الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره علي الدين كله ولو كره المشركون أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله المبعوث رحمة للعالمين اللهم صل وسلم وبارك علي حبيبنا وشفيعنا وقدوتنا محمد صلى الله عليه وسلم الرحمة المهداة والنعمة المسداة وعلى اله وصحبه ومن تبعه ووالاه..أما بعد فيا أيها المسلمون اتقوا الله أوصيكم وإياى بتقوى الله فقد فاز المتقون. قال الله تعالى يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhan-Nya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegah-Nya.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Di antara keistimewaan Islam dalam menghadapi asakan pemikiran dan kepercayaan asing adalah merujuk kepada keilmiahan manhajnya. Menurut epistemologi Islam, keilmiahan sesuatu tafsiran kefahaman dalam sesuatu bidang itu merujuk kepada kesesuaian manhaj atau kaedah yang serasi dengan tabiat sumber ambilan sesuatu bidang tersebut. Manhaj atau metode yang dimaksudkan di sini ialah “jalan yang dapat menjamin seseorang pengkaji untuk sampai kepada kebenaran yang dicari tanpa tersimpang atau tersasar, juga tanpa terkeliru dengan kepalsuan yang disangkakan sebagai kebenaran yang dicari itu”. Firman Allah SWT dalam ayat 36, Surah al-Isra’:

ولا تقف ما ليس لك به علم إن السمع والبصر والفؤاد كل إولئك كان عنه مسئولا

Maksudnya:
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.             

Manhaj atau metode ilmiah ini dirumuskan oleh ulama dengan ungkapan:

إن كنت ناقلا فالصحة , وإن كنت مدعيا فالدليل

Maksudnya:

Jika anda menyampaikan sebarang berita, maka pastikan kesahihannya dan jika anda mendakwa sebarang kenyataan, maka pastikan pendalilannya. Bertolak dari sini mimbar akan mengulas ungkapan “إذا صح الحديث فهو مذهبي” yang bermaksud jika sah sesuatu hadis itu maka itulah mazhabku.

Ungkapan ini agak popular ketika ini tetapi tidak asing bagi pengkaji ilmu fiqh dan usul fiqh. Ungkapan ini dikaitkan kepada beberapa ulama silam yang terkenal terutamanya Imam Syafie. Ungkapan yang ringkas dan padat ini dianggap sebagai satu kaedah dalam penentuan hukum yang digunapakai oleh si pengungkapnya. Secara literalnya kaedah ini difahami seolah-olah Imam Syafie berkata “jika sesuatu hadis itu didapati sahih maka pandanganku yang bertentangan dengannya akan terbatal.” Adakah benar fahaman sebegini?

Justeru, mimbar pada hari ini akan menganalisis ungkapan ini lebih teliti maksud yang dikehendaki oleh si pengungkapnya. Walaupun pengungkapnya sudah tiada, namun penelitian secara ilmiah masih boleh dilakukan dengan meneliti ulasan para ulama muktabar yang lebih memahami kehendak pengungkap tersebut iaitu Imam Syafie RA.

Sidang Jumaat sekalian,

Khutbah ini akan mengupas kesahihan kaitan ungkapan ini dengan Imam Syafie dan maksud sebenar yang dikehendaki daripada ungkapan tersebut. Hasilnya diharap dapat memberikan tafsiran sebenar bagi ungkapan  “إذا صح الحديث فهو مذهبي” dan syarat penggunaannya sebagai satu keadah usul fiqh Imam Syafie dalam penentuan hukum berdasarkan hadis sahih.

Sebelum membincangkan lebih lanjut berkenaan tafsiran ilmiah berkenaan ungkapan ini, mimbar nukilkan petikan ungkapan kata-kata ini daripada beberapa ulama sama ada daripada karya-karya tabaqat (biografi) mahupun kitab-kitab yang membincangkan tentang kedudukan hadis sebagai sumber rujukan perundangan Islam. Antaranya:

1.  Ibn Abi Hatim al-Raziyy (wafat 327H) dalam kitabnya Adab al-Shafi’iyy wa Manaqibuh. Beliau memetik daripada Harmalah yang merupakan murid kepada Syafie dengan katanya:
قال الشافعي: كل ما قلت فكان عن النبي صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما يصح، فحديث النبي صلى الله عليه وسلم أولى، فلا تقلدوني.
Maksudnya:
al-Shafi’i berkata: Setiap perkataan yang aku katakan menyalahi setiap yang sah daripada Nabi SAW, maka hadis Nabi SAW lebih utama. Jangan kamu mengikutku.

2.  Imam al-Nawawiyy  (wafat 676H) di dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab berkata:
فصل: صح عن الشافعي رحمه الله أنه قال: إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا قولي، وروي عنه: إذا صح الحديث خلاف قولي فاعملوا بالحديث واتركوا قولي، أو قال: فهو مذهبي، وروي هذا المعنى بألفاظ مختلفة.
Maksudnya:
Ini satu fasal: (Terdapat nukilan yang) sahih daripada Syafie Rahimahullah bahawa beliau berkata: jika kamu dapati dalam kitabku ini bercanggah dengan Sunnah Rasulullah SAW maka ambillah Sunnah Raslullah SAW dan tinggalkan kata-kataku. Diriwayatkan daripadanya juga (katanya): jika sesuatu hadis yang sahih itu bercanggah dengan kata-kataku maka amallah dengan hadis tersebut dan tinggalkan kata-kataku, atau dia berkata: ini adalah mazhabku. Diriwayatkan makna ini dengan pelbagai lafaz.

3.  Bahkan, seorang ulama besar dalam mazhab Syafie bernama Taqy al-Din al-Subkiyy (wafat 756H) mengarang khusus tentang ungkapan dalam karya khusus tentang ungkapan ini yang berjudul Ma’na Qawl al-Imam al-Muttalibiyy Idha Sahh al-Hadis fahuwa Madhhabi. Beliau menyifatkan ungkapan  “إذا صح الحديث فهو مذهبي” sebagai ungkapan yang masyhur dan mendakwa tiada siapa pun dalam kalangan manusia yang sangsi bahawa Imam al-Shafi’i yang mengungkapkannya.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Saya ingin mengajak pula sidang jemaah untuk meneliti huraian dan maksud ungkapan tersebut melalui petikan-petikan daripada ulama muktabar dalam mazhab Syafie sendiri. Imam al-Nawawiyy RH misalnya berkata: “Kata-kata Imam Syafie ini tidak bermaksud bahawa sesiapa yang mendengar sepotong hadis sahih boleh berkata inilah mazhab Syafie dan beramal dengan zahir hadis tersebut.

Sebaliknya petikan إذا صح الحديث فهو مذهبي ini hanya kepada individu yang mencapai tahap mujtahid dalam mazhab. Syaratnya pula ialah kuat sangkaan mujtahid tersebut bahawa Imam al-Syafie R.A tidak berjumpa dengan hadis atau tidak mengetahui kesahihan hadis tersebut. Proses ini hanya boleh dilakukan setelah mujtahid meneliti kesemua hasil karya Imam al-Syafie dan yang seumpama dengannya seperti karya-karya pengikut Imam Syafie yang turut mencapai taraf ijtihad.  Syarat ini sukar dan tidak ramai yang boleh memenuhinya.”

Petikan kata-kata Imam al-Nawawiyy di atas jelas menunjukkan bahawa pemakaian hadis untuk pengistinbatan hukum tidak memadai dengan hanya berpandukan status hadis yang sahih semata-mata. Bahkan hadis tersebut mesti difahami secara teliti dengan merujuk kepada kaedah pengeluaran hukum fiqh yang dikuasai oleh ulama yang telah mencapai tahap mujtahid sahaja.

Oleh itu, individu yang bukan bertaraf mujtahid apatah lagi bukan ulama tidak layak untuk mengeluarkan sebarang hukum syarak tanpa merujuk kepada karya-karya fiqh yang muktabar. Ini kerana hasil penulisan mujtahid diabadikan dalam kitab-kitab fiqh setelah para mujtahid meneliti keseluruhan nas al-Quran dan hadis sebelum mengistinbat hukum syarak.

Selain itu juga, al-Imam ibn al-Salah RH turut mengulas kata-kata Imam Syafie di atas. Beliau menyatakan: “Tidak mudah untuk beramal dengan zahir kata-kata Imam al-Syafie itu. Bukan semua faqih berkelayakan untuk menjadikan hadis sebagai sandaran hukum syarak."

Antara ulama dalam mazhab Syafie yang beramal dengan hadis yang ditinggalkan dengan sengaja oleh Imam al-Syafie RA daripada dijadikan hujah walaupun Imam al-Syafie tahu bahawa hadis itu sahih tetapi tidak diketahui oleh orang lain ialah Abu al-Walid Musa bin Abi al-Jarud. Abu al-Walid berkata hadis (أفطر الحاجم والمحجوم) sahih. Maksudnya orang yang berbekam sama ada yang dibekam atau yang melakukan bekam puasanya terbatal. Namun demikian, Imam al-Syafie meninggalkan hadis tersebut walaupun beliau tahu kesahihannya kerana menurut beliau hadis tersebut telah dinasakhkan.

Nukilan Imam ibn Salah di atas menunjukkan bahawa hadis yang sahih juga tidak semestinya menjadikan hadis tersebut boleh dijadikan sebagai sumber pengeluaran hukum syarak. Ini kerana terdapat faktor lain dalam pengistinbatan hukum perlu diambil kira oleh mujtahid ketika meneliti sesuatu nas.

Bahkan Abu al-Walid Musa bin Abi al-Jarud yang merupakan ashab al-wujuh iaitu murid rapat Imam Syafie yang memperoleh taraf mujtahid sekalipun boleh terlepas pandang mengenai kehujahan hadis yang disebutkan di atas tadi. Kecuaian ini jika boleh berlaku kepada ulama mujtahid dalam mazhab Syafie sendiri, maka kebarangkalian perkara yang sama berlaku kepada orang lain yang bukan ulama mujtahid adalah lebih tinggi.

Oleh itu, kata-kata Imam Syafie إذا صح الحديث فهو مذهبي mesti difahami secara bersama dengan ilmu Usul Fiqh sebagai manhaj pengeluaran hukum syarak.

Tambahan pula, Imam Syafie telah mengambil kira kesemua hadis yang berkaitan dengan hukum halal dan haram dalam semua karya beliau. Hal ini diperakui oleh Ibn Khuzaimah yang merupakan tokoh terbilang dalam bidang hadis dan fiqh di samping menguasai keseluruhan mazhab Syafie. Beliau  menyatakan “aku tidak mendapati satu pun hadis Nabi SAW yang berkaitan dengan halal dan haram yang tidak dimuatkan oleh Imam Syafie dalam karya-karya beliau.”

Perakuan Ibn Khuzaimah RH sepatutnya  sudah memadai untuk meyakinkan umat Islam mengenai ketelitian serta pertimbangan menyeluruh Imam Syafie RA sebelum mengeluarkan sesuatu hukum. Sikap yang ditunjukkan oleh Imam Syafie ini pada hakikatnya manifestasi kepada keseluruhan perbahasan dalam ilmu Usul Fiqh.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Selain ulama dalam mazhab Syafie, nada yang sama turut disuarakan oleh tokoh bermazhab Hanafi. Misalnya Ibn ‘Abidin RH berkata : “Tidak syak lagi kata-kata ini (إذا صح الحديث فهو مذهبي) hanya untuk individu yang berkelayakan untuk meneliti nas-nas al-Quran mahupun hadis serta berkeupayaan untuk membezakan antara nas yang muhkam daripada nas yang telah dinasakhkan.”

Ibn ‘Abidin pada teks di atas mengukuhkan lagi bahawa penelitian terhadap nas hadis dan juga nas al-Quran perlu dilakukan oleh individu yang telah mencapai taraf mujtahid. Ini kerana keupayaan untuk berinteraksi dengan nas yang muhkam dan mansukh bukan mudah dan hanya diketahui oleh ulama mujtahid melalui kaedah yang disusun dalam ilmu Usul Fiqh sahaja. Justeru, pengeluaran hukum syarak dengan hanya berpandukan kepada status hadis sahih tanpa panduan ilmu Usul Fiqh perlu dielakkan. Sekiranya disiplin pengistinbatan hukum syarak ini tidak dipatuhi, maka hukum yang dikeluarkan itu adalah tidak tepat sekaligus mendedahkan pelakunya kepada dosa. Ini kerana hukum yang dikeluarkan itu berasaskan kepada hawa nafsu dan bukan prosedur yang dibenarkan oleh Allah SWT.

Berhubung perkara ini, al-Allamah al-Mufassir al-Muhaddith al-Faqih al-Syeikh Abd al-Ghaffar Úyun al-Sud menyebut: “Kita lihat pada zaman kita ini ramai orang yang menisbahkan diri mereka kepada ilmu terpedaya dengan dirinya sendiri. Dia menyangka dia berada di puncak gugusan bintang tetapi sebenarnya dia berada di lembah yang paling bawah. Mungkin dia membaca sebuah kitab hadis daripada al-Kutub al-Sittah – sebagai contoh – lalu dia mendapati sepotong hadis bercanggah dengan mazhab Abu Hanifah lalu dia berkata: “Lemparkan mazhab Abu Hanifah ke dinding dan ambillah hadis Rasulullah SAW.” Ada kemungkinan hadis yang tidak diterima oleh Imam Abu Hanifah tersebut dinasakhkan atau berlawanan dengan hadis lain yang lebih kuat sanadnya atau lain-lain faktor yang menyebabkan hadis tersebut tidak dijadikan sebagai hujah sedangkan orang itu tidak tahu. Sekiranya dibiarkan orang-orang seperti ini beramal dengan hadis semata-mata, nescaya mereka akan tersilap dalam banyak masalah (fiqh) dan menyesatkan sesiapa yang datang bertanya kepada mereka.”

Teks al-Syeikh Abd al-Ghaffar Úyun al-Sud RA di atas jelas menunjukkan bahawa kesilapan serius boleh terjadi ketika mengistinbat hukum syarak sekiranya usaha pengistinbatan tersebut hanya berpandukan kepada hadis semata-mata. Lebih malang, hukum yang dikeluarkan itu membawa kepada kesesatan dan dosa berbanding memberikan hidayah dan pahala. 

Sidang Jumaat yang dihormati,

Perbincangan di atas tidak bermaksud mendahulukan pandangan mujtahid berbanding hadis Nabi SAW. Bahkan semua mujtahid bersepakat hadis berada pada kedudukan kedua selepas al-Quran sebagai sumber pengeluaran hukum syarak. Namun demikian, fokus khutbah ini ialah kefahaman terhadap hukum yang terkandung dalam nas hadis. Hukum tersebut tidak boleh diistinbat secara zahir sahaja dengan melihat kepada lafaz nas tetapi mesti melalui proses pertimbangan hukum yang digariskan dalam ilmu Usul Fiqh. Ini kerana Usul Fiqh ialah ilmu yang membahaskan kaedah untuk mengenali dalil syarak serta berinteraksi dengan dalil tersebut sehingga boleh dijadikan sebagai sandaran kepada pengeluaran hukum syarak.

Hukum syarak yang diistinbat daripada nas al-Quran mahupun hadis dikenali dengan hukum fiqh. Kupasan sebelum ini menyimpulkan bahawa sebarang hukum fiqh tidak boleh diistinbat semata-mata dengan hanya bersandarkan zahir hadis. Justeru, pada kesempatan ini dibawa beberapa nukilan bahawa rujukan hukum fiqh hanya kepada ahli fiqh yang terbukti penguasaan dalam ilmu Usul Fiqh.

Imam Abdullah bin Wahab sebagai contoh berkata: “Aku telah bertemu dengan 360 orang ulama. Jika bukan kerana Imam Malik dan Imam al-Laith nescaya aku akan tersesat dalam ilmu (percanggahan dalam hadis).” Beliau juga pernah berkata “ikutan kami dalam ilmu empat orang. Dua orang di Mesir dan dua orang di Madinah. al-Laith bin Saad dan ‘Amru bin al-Harith di Mesir. Malik serta al-Majishun di Madinah. Jika tanpa mereka ini, nescaya kami akan sesat.” al-Imam ‘Abdullah bin Wahab menambah lagi: “jika aku tidak diselamatkan oleh Allah SWT melalui Malik dan al-Laith, nescaya aku telah sesat. Dikatakan kepada beliau, bagaimana boleh sesat? Beliau berkata, aku banyak hadis sehinggakan aku tidak tahu untuk berbuat apa-apa (beramal). Lalu aku bentangkan kepada Malik dan al-Laith. Mereka memberitahuku ambil yang ini dan tinggalkan yang ini.”

Ketiga-tiga petikan teks daripada tokoh besar dalam bidang fiqh bermazhab Maliki iaitu al-Imam ‘Abdullah bin Wahab jelas menunjukkan bahawa pemahaman sebenar hukum fiqh perlu kepada panduan ahli/pakar dalam bidang fiqh. Oleh itu, tidak wajar untuk mengeluarkan hukum fiqh dengan hanya merujuk kepada zahir nas hadis semata-mata.

Sidang Jumaat sekalian,

Selain itu, Imam Malik bin Anas RA yang merupakan seorang mujtahid mutlak mustaqill pernah menasihati anak saudara beliau yang bernama Abu Bakr & Ismail dengan katanya: “aku melihat kamu berdua suka mendengar dan mengumpul hadis. Jika kamu berdua ingin mendapat manfaat daripada hadis-hadis ini dan Allah SWT mengurniakan manfaat kepada kamu berdua, maka kurangkan (mendengar dan mengumpul) tetapi belajarlah ilmu fiqh.” Kata-kata Imam Malik ini merupakan nasihat kepada semua umat Islam agar mengambil ilmu itu daripada ahlinya yang muktabar khususnya ilmu fiqh. Nasihat ini perlu dan wajar diikut kerana ditakuti tersilap memahami hukum syarak yang terkandung dalam keseluruhan nas al-Quran dan hadis.

Kesilapan yang berlaku ini disebut oleh guru kepada Imam Abu Hanifah iaitu Ibrahim al-Nakhaíi RH. Beliau berkata kepada salah seorang muridnya yang bernama al-Mughirah al-Dhabbi: “sesungguhnya engkau telah mengenali kami bahawasanya kami tidak mengambil hadis-hadis melainkan daripada sesiapa yang mengetahui perkara yang halal daripada perkara yang haram dan perkara yang haram daripada perkara yang halal daripada hadis-hadis tersebut. Sesungguhnya engkau memperoleh hadis daripada seorang syeikh yang bercakap mengenai hadis lalu tanpa disedari syeikh itu mengubah perkara yang halal daripada haram dan mengubah perkara yang haram menjadi halal.”

Petikan teks di atas jelas menunjukkan bahawa kekeliruan dalam meneliti nas hadis boleh membawa kepada perubahan hukum halal kepada haram dan begitu juga sebaliknya.

Sidang Jumaat yang diredai Allah,

Kesimpulan khutbah ini ialah keupayaan untuk tahu@mengenali@mengeluarkan hukum halal dan haram yang merupakan fokus utama perbahasan fiqh mesti dipelajari dan diperoleh daripada pakar dalam bidang fiqh sahaja; bukan ulama dalam bidang yang lain termasuklah bidang hadis.

Dalam hal ini, murid kanan Imam Syafie iaitu al-Imam al-Muzani menjelaskan: “teliti dengan baik hadis-hadis yang telah kamu semua kumpulkan itu. Tuntutlah ilmu daripada ahli fiqh nescaya kamu akan menjadi fuqaha.” Nukilan ini memberitahu bahawa kefahaman yang betul mengenai hukum fiqh sehingga boleh menjadikan seorang itu faqih ialah dengan belajar atau menuntut ilmu daripada ahli dalam bidang fiqh. Bahkan ini adalah etika yang betul dalam menuntut ilmu yang berkaitan dengan hukum hakam sekaligus cara yang selamat dalam beragama.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tuesday, October 27, 2015

ISLAM IMAN IHSAN


Hubungan antara Islam, Iman dan Ihsan

Melalui 'Hadis Islam, Iman dan Ihsan' atau 'Hadis Jibril RA' dijelaskan bahawa komponen utama 'Agama Islam' adalah tiga iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Sesungguhnya, Iman itu kepercayaan atau akidah, Islam itu pengamalan atau syariat dan Ihsan itu kerohanian atau akhlak (antara hamba dan Allah SWT, antara makhluk dan Khalik). Ketiga-tiga komponen ini walaupun diperjelaskan oleh Rasulullah SAW satu persatu secara berasingan, tetapi ketiga-tiganya merupakan hakikat yang satu iaitu 'Agama' atau 'Agama Islam' itu secara kompak. Perkara ini difahami berdasarkan kesimpulan Rasulullah SAW yang di akhir  'Hadis Jibril RA' yang bermaksud "itulah Malaikat Jibril AS yang datang kepadamu untuk mengajarkan 'Agama' kamu."

Penjelasannya, 'Agama' atau 'Agama Islam' itu meliputi: [1] aspek mental atau akal iaitu kepercayaan atau keyakinan yang disebut sebagai 'Iman'; [2] aspek fizikal atau badan iaitu pengamalan atau amalan-amalan zahir yang disebut sebagai 'Islam'; dan [3] aspek spritual atau hati iaitu kerohanian atau pergantungan hati kepada Allah SWT yang disebut sebagai 'Ihsan'. Ketiga-tiga komponen ini tidak boleh dipisahkan antara satu dengan yang lain atau diabaikan salah satu daripadanya. Contoh penjelasan lain, 'Agama' itu diibaratkan sebagai sebatang pohon, benihnya atau akar umbinya 'Iman'; keseluruhan pohon yang meliputi batang, dahan, ranting, dedaun, bunga dan buahnya 'Islam'; dan penjagaan atau perapian seluruh pohon itu dari sudut kesuburan, keharuman, kemanisan dan seluruh keindahannya adalah 'Ihsan'.

Dalam 'Hadis Islam, Iman dan Ihsan' atau 'Hadis Jibril RA', Nabi SAW telah menjelaskan bahawa Iman itu ialah rukun Iman yang enam iaitu percaya kepada Allah SWT, percaya kepada para Malaikat, percaya kitab-kitab, percaya kepada para rasul, percaya hari akhirat dan percaya kepada Qadak dan Qadar. Kesemua pendetilan rukun Iman ini dapat kita pelajari, difahami dan kemudian diyakini dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu Tauhid.

Manakala Islam, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa Islam adalah rukun Islam yang lima iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT serta Nabi Muhammad itu utusan Allah SWT, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji sekiranya berkemampuan. Kesemua pendetilan rukun Islam ini dapat kita pelajari, difahami dan diamalkan dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu Fiqah.

Ada pun Ihsan, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa Ihsan itu ialah keadaan atau hubungan hamba dengan Tuhannya dia mana seorang hamba itu sentiasa merasakan pengawasan atau pemerhatian Allah SWT terhadap segala tindak tanduknya. Pendetilan rukun Ihsan ini dapat kita pelajari, difahami, ditekuni dan diamalkan dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu Tasawuf.

Tuntasnya, 'Agama Islam' itu adalah Tauhid. Mentauhidkan Allah SWT itu dipraktikkan melalui kepercayaan (Iman), pengamalan (Islam) dan kerohanian atau kebertanggungan hati (Ihsan) hanya kepada Allah SWT Tuhan Yang Satu. Sumber dalam memperjelaskan apa itu Islam, Iman dan Ihsan adalah al-Quran, Sunah, Ijmak dan Qiyas atau umumnya adalah akal dan wahyu. Manakala ilmu yang perlu diambil peduli bahkan ia merupakan fardu ain iaitu kewajiban yang dituntut bagi orang perseorangan ialah ilmu Tauhid, ilmu Fiqah dan ilmu Tasawuf.

Justeru, bagaimana dengan pengamalan 'Agama' atau 'Agama Islam' kita? Adakah ketiga-tiga komponen ini iaitu  Islam, Iman dan Ihsan telah kita penuhi dan ambil peduli?

Sunday, April 19, 2015

Pergerakan Semasa Zikir

PERGERAKAN SEMASA ZIKIR (AL-ḤARAKAH FĪ AL-DHIKR)
Oleh: al-Sheikh ‘Abd al-Qādir ‘Isā
Petikan kitab: Ḥaqā’iq ‘an al-Taṣawwuf
Terjemahan: Ustaz Mustafa Hussain al-Taib [Facebook]
[Ḥaqā’iq ‘an al-Taṣawwuf adalah sebuah kitab yang komprehensif, luas liputan, lengkap dan banyak butiran yang terkandung padanya dalam membicarakan apa itu Tasauf, Tarekat dan jawapan tuntas terhadap kekeliruan berkaitan Tasauf dan Tarekat. Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Mustafa Hussain al-Taib. Sila hubungi penterjemah untuk mendapat naskhah terjemahan.]
Pergerakan Semasa Zikir
Pergerakan dalam berzikir adalah perkara baik kerana ia mencergaskan tubuh badan. Hukumnya harus di sisi syara’ berdalilkan apa yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad beliau dan juga Hafiz Al-Maqdisiy dengan rijal sahih.
عن أنس رضي الله عنه قال: كانت الحبشة يرقصون بين يدي رسول الله صلى الله عليه وسلم، ويقولون بكلام لهم: محمد عبد صالح، فقال صلى الله عليه وسلم: ماذا تقولون؟ فقيل: إنهم يقولون: محمد عبد صالح، قلما رآهم قي تلك الحالة لم ينكر عليهم وأقرهم على ذلك.
Daripada hadis Anas ra katanya: Orang-orang Habsyah menari di hadapan Rasulullah SAW. Mereka melaung dengan kata-kata: Muhammad hamba yang soleh. Maka Rasulullah bertanya: Apa yang mereka laungkan? Baginda diberitahu: Mereka mengatakan: Muhammad hamba yang soleh. Apabila baginda melihat mereka dalam keadaan sebegitu, baginda tidak melarang mereka sebaliknya memperakui perbuatan tersebut.
Sebagaimana yang sedia maklum, hukum-hukum syara’ diambil daripada kata-kata, perbuatan dan juga pengakuan baginda. Apabila baginda memperakui perbuatan mereka sekaligus tidak mengingkarinya, maka jelaslah bahawa ia adalah harus.
Dalam hadis tadi terdapat dalil yang menunjukkan bahawa boleh melakukan goyangan yang harus dan dalam masa yang sama memuji Rasulullullah SAW. Menggoncang atau menggoyangkan tubuh ketika berzikir tidak dinamakan tarian yang haram bahkan harus kerana ia mencergaskan jisim untuk terus berzikir. Ia juga akan membantu hati untuk hadir bersama Allah. Keadaan ini berlaku apabila niat betul kerana semua perkara dikira mengikut niat. Semua amalan bergantung kepada niat dan setiap seseorang itu menurut apa yang diniatkan.
Mari kita sama-sama mendengar apa yang diperkatakan oleh Imam Ali Karramallahuwajhah dan bagaimana beliau menyifatkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW:
قال أبو أراكة: صليت مع علي صلاة الفجر، فلما انفتل عن يمينه مكث كأن عليه كآبة حتى إذا كانت الشمس علي حائط المسجد قيد رمح صلى ركعتين ثم قلب يده فقال:والله لقد رأيت أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم، فما أرى اليوم شيئا يشبههم لقد كانوا يصبحون صُفرًا شُعثًا غُبرًا، بين أيديهم كأمثال رُكَب المَعْزى، قد باتوا لله سجدًا وقيامًا يتلون كتاب الله يتراوحون بين جباههم وأقدامهم، فاذا أصبحوا فذكروا الله مادوا ( أي تحركوا ) كما يميد الشجر في يوم الريح وهملت أعينهم حتى تنبل والله ثيابُهم.
Abu Urakah berkata: Aku solat subuh bersama Ali Karramallahuwajhah, apabila beliau menyandarkan tubuh beliau ke kanan, beliau diam seolah-olah dirundung duka sehinggalah matahari (mula menampakkan sinarnya) di dinding masjid sekadar segalah, beliau solat dua rakaat. Beliau kemudian membalikkan tangannya lalu berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku telah melihat sahabat-sahabat Muhammad SAW yang tidak pernah ku lihat pada hari ini sesuatu pun yang menyerupai mereka. Mereka berpagi-pagi dalam keadaan tidak mempunyai sesuatu, rambut tidak terurus dan dalam keadaan berdebu (kerana takutkan Allah). Di hadapan mereka seolah-olah kambing tunggangan (tubuh badan mereka lemah). Mereka benar-benar melalui malam hari (dengan beribadah) kerana Allah dalam keadaan sujud dan berdiri, mereka membaca ayat-ayat Allah, (tubuh-tubuh mereka) mereka hayun-hayunkan di antara dahi dan kaki mereka (ke depan). Apabila berpagi-pagi mereka berzikir mengingati Allah dengan mencondongkan tubuh sebagaimana condongnya pohon pada musim angin. Demi Allah! Air mata mereka berlinangan sehingga membasahi pakaian mereka.[1]
Apa yang penting bagi kita dari ibarat Imam Ali ra ialah kata-kata beliau: “Mereka mencondongkan tubuh sebagaimana condongnya pohon pada musim angin”. Di sini kamu dapati kata-kata Sayyidina Ali itu jelas terhadap menggoyangkan tubuh. Maka batallah dakwaan yang mengatakan ianya bid’ah yang haram dan yang tsabit ialah pergerakan dalam zikir adalah harus secara mutlak.
Syeikh Abdul Ghani An-Naabulsi rahi dalam satu risalah beliau, beliau berdalilkan hadis ini dengan mengatakan sunat menggoncangkan tubuh dengan zikir. Beliau berkata: Ini jelas bahawa sahabat radhiallahu’anhum menggoyangkan tubuh mereka dengan goyangan yang kuat semasa berzikir. Seseorang yang melakukannya dengan bergerak, bangun dan duduk dengan apa jua keadaan sekalipun, dia tidak dikira berdosa sekiranya dia tidak melakukan maksiat dan tidak pula meniatkan maksiat seperti yang telah kami jelaskan.
Lain pula keadaannya, kerana di sana juga terdapat kumpulan yang menyelinap masuk ke dalam kaum sufi. Mereka menempelkan diri kepada tasawuf sedangkan ahli-ahli tasawuf tidak ada kena mengena dengan mereka. Mereka mencemarkan keindahan halaqah zikir dengan memasukkan unsur-unsur bid’ah yang sesat dan perbuatan mungkar yang diharamkan syara’ seperti menggunakan alat-alat muzik yang diharamkan, berkumpul dengan tujuan muda mudi serta nyanyian mungkar. Semua perkara tersebut tidak dikira sebagai jalan praktikal untuk menyucikan hati daripada penyakit dan bukan pula jalan berhubung dengan Allah, bahkan ia menjadi keriangan bagi nafsu yang melalaikan dan sebagai jalan mencapai matlamat yang hina.
Sesetengah yang mendakwa berilmu pula - semoga mereka dimaafkan Allah - telah menghentam halaqah-halaqah zikir tanpa membezakan di antara golongan tempelan yang menyeleweng dengan mereka yang berzikir serta suluk dengan ikhlas. Halaqah zikir yang dilakukan mampu menambahkan kemantapan iman, menjadikan mereka istiqamah dalam muamalah, menyuburkan akhlak serta menenangkan hati.
Di sana terdapat ulama’-ulama’ adil lagi jujur yang telah membezakan antara golongan sufi yang tulus ikhlas yang berjalan mengikut jejak Rasul agung SAW dengan golongan tempelan yang sesat dan terkeluar dari tuntunan sunnah. Mereka memperjelaskan hukum Allah tentang zikir. Pelopornya ialah Ibnu ‘Abidin dalam risalah beliau Syifa’ul ‘Alil, mereka menjelaskan tentang keaiban golongan tempelan kepada ahli sufi, mengemukan bid’ah dan kemungkaran mereka dalam zikir serta mengajak kita berwaspada terhadap mereka dan berhati-hati daripada turut bersama mereka. Ibnu ‘Abidin kemudiannya berkata: Kami tidak mempertikaikan terhadap mereka yang jujur di kalangan tokoh-tokoh sufi, yang tidak bertanggungjawab ke atas setiap perkara yang membinasakan”.
Imam Junaid pernah ditanya: “Sesungguhnya kaum sufi bertawajud dan bertamayul? Jawab beliau: Biarkanlah mereka bergembira bersama Allah Ta’ala. Sesungguhnya mereka adalah suatu kaum yang jiwa mereka telah terputus dari segala-galanya, hati mereka telah letih dan lesu, maka tidak mengapa mereka melakukannya dengan maksud mengubati keadaan yang dialami. Andainya kamu mengecapi apa yang mereka kecapi, nescaya kamu menguzurkan mereka”.  
Beliau kemudiannya berkata lagi: “Al-Allamah An-Nihrir Ibnu Kamal Basya tatkala memberi fatwa terhadap perkara tersebut, beliau memberikan jawapan yang sama seperti yang diberikan oleh Imam Junaid, kata beliau:

ما في التواجُد إن حققتَ من حرج   *   ولا التّمايُلِ إن أخْلَصْتَ من باسِ
فقمتَ تسعى علي رِجْلٍ وَحُقّ لمن   *   دعاه مولاه أن يسعى علي الراس
                                                                                     
Tidak mengapa dalam bertawajud kiranya engkau benar-benar kesempitan
Juga tidak mengapa bertamayul kiranya engkau menghilangkan dukacita
Engkau bangkit berjalan dengan kaki dan layak bagi orang
Yang diseru oleh Tuhannya untuk berjalan (sekalipun) dengan kepala.
Kelonggaran terhadap perkara yang disebut adalah di antara suasana-suasana ketika berzikir dan sima’ bagi orang-orang arifin yang membelanjakan masa mereka kepada amalan yang terbaik, juga bagi ahli suluk untuk mendidik jiwa daripada kejahatan ahwal. Mereka hanya mendengar daripada Allah dan hanya kepadaNya mereka rindu. Bila mengingati Allah, mereka teresak-esak, bila bersyukur nyata kesyukurannya. Bila mendapati Allah, hati mereka mengerang, bila musyahadah mereka tenang dan bila menuju hadhrat qurb hati mereka luluh. Bila wajd menguasai dan mereka telah minum dari sumber iradatNya, di antara mereka ada yang diketuk oleh ketukan keagungan lalu mereka tunduk dan luluh, ada yang disambar petir lutf, lalu jiwa mereka bergoyang-goyang dilamun keindahan. Ada pula dari qurb dijelmakan kekasih lalu mereka mabuk dan lupa diri. Inilah jawapan yang telah dipermudahkan kepadaku untuk menjawabnya dan Allahlah yang lebih mengetahui tentang perkara yang benar”.
Beliau kemudian berkata: “Kami tidak layak bercakap tentang orang yang mengikuti mereka dan telah mengecapi kemanisan dari jalan tersebut. Mereka mendapati jiwa rindu pada zat Ilahi bahkan percakapan kami hanyalah pada orang-orang awam yang fasiq lagi tercela - perangainya”.[2]
Dari sini kita dapati bahawa Ibnu ‘Abidin rahi mengharuskan tawajud dan pergerakan semasa zikir. Fatwa di sisi beliau adalah harus. Nas tegahan yang dicedok dari Hasyiah beliau pada juzuk ke-3 mungkin kerana wujudnya kemungkaran dalam halaqah zikir tersebut seperti alat-alat muzik yang melaghakan, nyanyian, pukulan gendang, perhimpunan muda mudi, berseronok dan bermesra sesama mereka serta pelbagai kemungkaran.
Orang yang menegah, mereka bersandarkan pendapat Ibnu ‘Abidin yang tersebut kerana mereka tidak menemui kata-kata beliau dalam Majmu’ Rasa’il, yang mana beliau telah membezakan antara orang yang bertopengkan tasawuf dengan orang yang jujur lagi ikhlas. Dalam kitab tersebut beliau mengharuskan tawajud bagi orang-orang arifin yang wusul dan juga orang yang bertaqlidkan mereka. Rujuklah kedua-dua sumber tersebut nescaya akan teranglah kebenaran.

Tanpa diragui bahawa tawajud ialah memaksa diri menzahirkan wajd tanpa adanya wajd yang hakiki. Apabila niat betul, tidak mengapa sebagaimana kata-kata Ibnu ‘Abidin dalam Hasyiah beliau:

ما في التواجُد إن حققتَ من حرجِ   *   ولا التّمايُلِ إن أخْلَصْتَ من باسِ
                                                                                   
Tidak mengapa dalam bertawajud kiranya engkau benar-benar kesempitan
Juga tidak mengapa bertamayul kiranya engkau menghilangkan dukacita.
Jika memaksa diri untuk bertawajud atau buat-buat tawajud harus di sisi syara’ dan boleh dilakukan sebagaimana telah dinaskan oleh fuqaha’ maka wajd yang sebenar adalah lebih layak. Wajd dan tawajud para sufi adalah cedokan dari apa yang dilakukan oleh sahabat-sahabat baginda Rasulullah SAW.
Seorang mufti mazhab Syafie di Mekah Al-Mukarramah, Allamah Kabir Ahmad Zaini Dahlan rahi sendiri menyebut dalam kitabnya yang begitu masyhur tentang sirah nabawi sebagai suatu gambaran daripada salah satu situasi mereka. Beliau mengulas dengan katanya: “Selepas pembukaan Khaibar, Jaafar bin Abi Talib ra bersama beberapa orang muslimin, mereka semuanya seramai 16 orang lelaki telah pulang dari Habsyah lalu beliau bertemu Nabi SAW, baginda mencium dahinya dan memuanaqahnya serta berdiri menghormatinya. Rasulullah SAW juga telah berdiri menghormati Shafwan bin Umaiyyah apabila Shafwan bertemu baginda dan juga kepada ‘Adi bin Hatim ra huma. Nabi kemudiannya bersabda:
 قال صلى الله عليه وسلم: ما أدري بأيهما أفرح بفتح خيبر أم بقدوم جعفر؟ وقال صلى الله عليه وسلم لجعفر: أشبهتَ خَلْقِي وخُلُقِي. فرقص رضي الله عنه من لذة هذا الخطاب، فلم ينكر عليه صلى الله عليه وسلم رقصه. 
Aku tidak tahu dengan yang mana satu aku gembira, dengan pembukaan Khaibar atau dengan kembalinya Jaafar. Baginda berkata kepada Jaafar: Tubuh badan dan akhlakmu mirip sepertiku. Lalu Jaafar ra menari-nari kerana keindahan kata-kata ini sedang Rasulullah SAW tidak melarang tariannya.
Kisah ini dijadikan asal kepada tarian sufi ketika mereka merasa indah bertawajud dalam majlis-majlis zikir dan sima’”[3].
Al-Allamah Al-Alusi menyebut dalam tafsirnya ketika sampai kepada firman Allah Ta’ala: 
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ
“.[4]Orang yang mengingati Allah ketika dalam keadaan berdiri, duduk dan ketika baring”
Boleh jadi firman inilah yang diceritakan dari Ibnu Umar ra huma, Urwah, Az-Zubair serta jemaah mereka radhiallahuanhum, bahawa pada hari raya mereka keluar ke tempat solat, maka mereka mengingati Allah Ta’ala. Setengah daripada mereka berkata: “Adapun Allah SWT berfirman: “Mereka mengingati Allah ketika dalam keadaan duduk dan dalam keadaan berdiri”. Maka mereka pun berdiri berzikir mengingati Allah Ta’ala dengan maksud bertabarruk - mengambil berkat - dengan cara yang bersesuaian dengan ayat yang merupakan satu bentuk pemahaman daripada ayat tersebut”.[5]
Sayyidi Abu Madyan berkata:

وقل للذي ينهَى عن الوجدِ أهلَـه  *  أذا لم تذق معنى شرابِ الهوى دعْنا
إذا اهتزّتِ الأرواحُ شوقًا إلي اللِقا * نعمْ تَرْقُصُ الأشباحَ يا جاهلَ المعني
أما تنظرُ الطـيرَ المقفَّص يا فـتي  *  إذا ذكـر الأوطان حَـنَّ إلي المغنى
يُفـرّجُ بالتّغْـريدِ مـا بفـؤادِه  *  فتَضْطَرِبُ الأعضاءُ في الحس والمعنى
كـذلك أرواحُ المحـبين يا فـتى  *  تُهَزْهِزُها الأشـواق للعالَم الأسـنى
أنُلزِمُها بالصـبر وهيَ  مَشـوقةٌ * وهل يستطيع الصبرَ مَن شاهد المعنى
فيا حاديَ العُشّاق قمْ واشدُ قائمًا  *  وزَمْزِم لنا باسـمِ الحبيبِ ورَوّحْـنَا

Katakanlah kepada orang yang menegah Ahli Wajd bertawajud
Apabila kamu tidak mengecapi erti minuman cinta, tinggalkanlah kami
Apabila roh sudah bergetar rindukan pertemuan
Ya, jasad akan melompat-lompat wahai si jahil tentang makna

Tidakkah pernah kamu melihat burung di sangkar wahai pemuda
Apabila mengingati negeri dia rindu kampung halaman
Dia menghilangkan kerinduan dengan berkicauan, bukan dengan hatinya
Lalu anggota bergetar pada perasaan dan makna

Begitu juga roh-roh para pencinta wahai pemuda
Digoyangkan kerinduan menuju alam abadi
Mampukah kita memaksanya bersabar sedangkan dia merindui
Adakah mampu bersabar bagi mereka yang menyaksikan erti kerinduan
Wahai pemandu para perindu! Bangkitlah dan lagukanlah secara berdiri
Lagukan kepada kami dengan nama kekasih dan rehatkanlah kami

Kesimpulan
Difahami daripada apa yang telah diperkatakan bahawa pergerakan semasa berzikir adalah harus di sisi syara’. Tambahan pula suruhan berzikir - dalam ayat tersebut - adalah mutlak, ia mencakupi semua keadaan. Sesiapa berzikir mengingati Allah sama ada ketika duduk, berdiri, tetap, berjalan, bergerak atau diam maka sesungguhnya dia telah melakukan apa yang dituntut dan telah melaksanakan kehendak Ilahi.
Orang yang mendakwa pergerakan semasa zikir adalah haram atau ditegah maka  dia yang dituntut mengemukakan dalil kerana dia yang mengkhususkan setengah keadaan yang mutlak tanpa setengah yang lain dengan hukum khas.
Walau bagaimanapun, tujuan seseorang muslim menyertai halaqah-halaqah zikir adalah untuk melaksanakan ibadat zikir. Pergerakan dalam zikir bukanlah suatu syarat tetapi satu cara untuk cergas dalam ibadat tersebut dan cara meniru ahli wajd jika niat itu betul.
فتشبهوا إنْ لم تكونوا مثلهم   *   إنَّ التشـبهَ بالكـرام فلاحُ
Tirulah seperti mereka walaupun engkau tidak seperti mereka Sesungguhnya menyerupai orang yang mulia adalah suatu kejayaan.



[1]       Al-Bidayah Wa An-Nihayah, tentang Sejarah - karangan Sejarawan Imam Al-Hafiz Al-Mufassir Ismail Ibnu Katsir Al-Qurasyi Ad-Dimasyqi Jilid 8 m/s: 6. Beliau meninggal dunia pada tahun 774 H. Ia juga dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah Jilid 1 m/s: 76.
[2]       Himpunan Risalah Ibnu ‘Abidin - Risalah ke-7, Syifa’ul ‘Alil Wa Ballul Ghalil pada membicarakan tentang Khitam dan Tahlil - karangan Fakih Kabir Ibnu ‘Abidin m/s: 172-173.
[3]       As-Sirah An-Nabawiyyah Wal Atsar Al-Muhammadiyyah - karangan Zaini Dahlan ‘Ala Hamisy As-Sirah Al-Halabiyyah Jilid 2 m/s: 252. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dalam Sahihnya dalam Kitab Ash-Shulh.
[4]       Surah A li ‘Imran: 191.
[5]       Ruhul Ma’ani - karangan Al-‘Alamah Mahmud Al-Alusi Jilid 4 m/s: 140.

Friday, March 6, 2015

ISU WAHABI: Fahaman ekstrem, pecah belah ummah wajar ditolak

FAHAMAN EKSTREM, PECAH BELAH UMMAH WAJAR DITOLAK
[Berita Harian 5 Mac 2015, halaman 34]


Sejurus selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan memutuskan fahaman Wahabi bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) maka isu Wahabi kembali panas di tanahair. Sebelum itu, isu Wahabi hangat diperkatakan apabila Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang melarang sebarang bentuk penyebaran ajaran Wahabi. Pelbagai reaksi dan interaksi dilontarkan oleh para individu berpengaruh di negara ini sama ada ahli agama, ahli akademik dan tidak terkecuali ahli politik. Isu ini sedikit sebanyak memperlihatkan kepada kita siapa sebenarnya Wahabi? Atau siapakah individu-individu berfahaman Wahabi?

Wahabi bukanlah satu mazhab tetapi satu aliran atau bentuk gerakan pemikiran agama yang dinisbahkan kepada Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Berdasarkan sejarah, Wahabi tidak mewakili arus perdana mazhab Ahl Sunah Waljamaah seperti mazhab akidah ASWJ iaitu Asha’irah dan Maturidiyah, atau mazhab fiqah ASWJ sama ada Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun, para pengikut Wahabi mendakwa mereka berakidah 'Salaf' dan bermazhab fiqah berdasarkan al-Quran dan Sunah atau setidaknya hampir kepada mazhab Hanbali.

Realitinya, mazhab Ahli Sunah Waljamaah berdasarkan pengamalan dan pembawaan di seluruh dunia khususnya di Malaysia ini melalui fahaman akidah Asha’irah dan fiqah Shafi’i tidak mudah mengeluarkan sesuatu aliran, fahaman atau bentuk pemikiran daripada ASWJ kecuali apabila fahaman tersebut benar-benar menyalahi usul akidah Islam dan perkara ini hanya dapat dikenal pasti oleh para ilmuwan. Sesuatu fahaman itu tidak dikeluarkan dari ASWJ pada perkara cabang fiqah yang sememangnya penuh dengan pelbagai pendapat dan hujah-hujah bahkan diamalkan sama ada dengan mazhab Shafi’i, Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Justeru, takrifan Wahabi bukanlah individu yang tidak melakukan amalan seperti doa qunut, zikir dan tahlil. Ini semua isu perkara cabang fiqah yang boleh dilaksanakan atau ditinggalkan. Persoalannya, siapa atau aliran, fahaman dan bentuk pemikiran manakah yang mempertikaikan isu perkara cabang fiqah ini? Sekian kurun atau abad lamanya masyarakat Islam di Nusantara ini aman damai dengan pengamalan serta ibadah mereka. Namun, siapakah yang membangkitkan isu-isu yang boleh memecahbelahkan perpaduan sehingga merugikan negara ini?

Fahaman Wahabi secara dasar atau akidahnya tertolak apabila meletakkan sifat-sifat kemanusiaan itu kepada Tuhan sedangkan ia menyalahi al-Quran. Namun, perkara ini hanya diketahui oleh para ilmuwan. Bahkan, individu yang menjadi penyokong dan pendokong fahaman Wahabi atau yang tidak mengaku Wahabi tetapi mendakwa Salafi tidak mempunyai pengetahuan berkaitan isu rumit ini. Perkara ini juga tidak dapat diukur dengan mudah hanya dengan nama 'Wahabi'. Justeru, imam-imam di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak boleh dikelompokkan terus atau dengan mudah di dalam fahaman Wahabi khususnya dalam fahaman isu berkaitan sifat-sifat Tuhan.

Selain tu, fahaman Wahabi tertolak kerana cenderung dan mudah mengeluarkan orang Islam daripada agama apabila tidak sealiran dengan mereka dengan label 'bidaah', 'sesat', dan akhirnya ke neraka (kecuali beberapa individu yang diberi rahmat oleh Allah SWT). Mereka bukan sahaja mengeluarkan Asha’irah pegangan akidah dominan masyarakat negara ini daripada Ahli Sunah Waljamaah bahkan mengkafirkan. Persoalannya, bagaimanakah nasib generasi terdahulu yang terdiri daripada nenek moyang kita apabila Asha’irah didakwa terkeluar daripada Islam? Inilah asas kenapa Wahabi disifatkan "bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah". Isunya, siapa sebenarnya yang memecahbelahkan perpaduan umat?

Justeru, menurut pandangan saya tindakan pihak berkuasa agama sama ada Jawatankuasa Agama Negeri Pahang, Jawatankuasa Agama Negeri Sembilan dan sebagainya lagi bukanlah mengeluarkan fahaman Wahabi itu daripada Ahli Sunah Waljamaah secara total apatah lagi daripada Islam. Tetapi ia sebagai langkah pencegahan setelah sekian lama fahaman yang dilabel sebagai 'Wahabi' ini menjalankan peranan serta aktiviti mereka. Kerana itu, kenyataan pihak berkuasa yang keluar ialah "melarang sebarang bentuk penyebaran ajaran Wahabi", "Wahabi tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini", "bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah" dan sebagainya. Hakikatnya, setiap negara atau negeri berhak menghalang segala usaha yang boleh menimbulkan sebarang kekacauan atau kacau bilau di dalam masyarakat.

Kesimpulannya, kita menolak bahkan menentang sebarang bentuk pemikiran Islam yang bersifat ekstrem. Seperti kita menentang pemikiran dan gagasan ISIS (Islamic State of Iraq and al-Sham) atau sebarang benih pemikiran ke arah ideologi ISIS. Ini yang amat kita tentang kerana ia bukan daripada Islam serta menyalahi Islam yang bersifat Wasatiyyah iaitu kesederhanaan. Akhirnya, penghargaan dan tahniah kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia di atas penubuhan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM). Diharapkan IWM dapat terus berperanan sebagai pusat yang dapat menjaga aplikasi Wasatiyyah (kesederhanaan) di negara ini agar keamanan dan kesejahteraan terus terpelihara.

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah (JUF), Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Ahli Jawatankuasa, Pertubuhan Ilmuwan Sunni Malaysia (SUNNI).