PENYELEWENGAN SYIAH DI MALAYSIA
Sumber: Petikan khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertarikh 6 April 2012.
http://www.jais.gov.my
Kita telah dengar dan mengetahui beberapa siri serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap markaz perkumpulan yang menganut fahaman Syiah. Fahaman Syiah telah lama diwarta dan difatwakan kerana bercanggah dan menyeleweng daripada Ahli Sunnah wal Jamaah di negeri-negeri seluruh Malaysia. Di Selangor, fatwa pengharaman Syiah telah dikeluarkan pada 14 Februari 1998 yang menyatakan bahawa;
“Fahaman dan ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya. Terdapat beberapa percanggahan di dalam fahaman tersebut sama ada dari sudut aqidah, syariah dan lain-lain”.
Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Syiah ialah satu mazhab yang mendakwa Saidina Ali sebagai pengganti Nabi Muhammad s.a.w yang sah dan lebih utama daripada para sahabat lain. Golonga Syiah merendah-rendahkan kedudukan para sahabat Nabi s.a.w serta mengkafirkan mereka terutamanya tiga khalifah al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar R.A, Saidina Umar R.A dan Saidina Uthman R.A.
Ringkasnya, Syiah memperkatakan sesuatu yang tidak layak serta merendahkan kedudukan khulafa al-Rasyidin, para sahabat dan sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syiah daripada golongan-golongan Islam yang lain terutamanya Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Ulama terkenal, Syeikh Sa’id Hawwa dalam sebuah risalahnya berkaitan Syiah menyenaraikan beberapa penyelewengan mereka. Antaranya ialah:
Pertama: Syiah percaya bahawa para imam mereka adalah maksum sehingga mengatasi Nabi dan bebas daripada dosa atau tidak berdosa. Menurut Syiah lagi, para Imam Syiah bebas daripada kesalahan, ghaflah (lalai) dan lupa sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja serta kedudukan imam itu mengatasi kedudukan kenabian. Perkara ini menurut ulama Syiah adalah ijmak atau kesepakatan golongan terdahulu dan terkemudian Syiah. Oleh kerana itu para imam Syiah mempunyai kuasa mutlak dan hak serta pemilihan dalam menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
Kedua: Syiah percaya bahawa al-Quran yang wujud di tangan kaum muslimin pada hari ini telah mengalami perubahan. Perkara ini diakui oleh ulama mereka seperti al-Kulaini dan Muhammad Baqir al-Majlisi dalam karangan mereka. Syiah mendakwa mereka memiliki al-Quran yang disebut sebagai “Mashaf Fatimah” dan ianya tiga kali ganda banyaknya daripada al-Quran yang kita miliki.
Ketiga: Syiah tidak mengiktiraf hadis-hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh kebanyakan para sahabat seperti Abu Hurairah R.A, Samrah bin Jundub R.A, Amr bin al-Ass R.A dan sebagainya. Menurut Syiah, umat Islam telah kufur selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w kecuali tiga atau empat orang sahabat iaitu al-Miqdad bin al-Aswad R.A, Abu Dzar al-Ghifari R.A dan Salman al-Farisi R.A. kerana mereka tidak berpegang dan tidak mempercayai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat bahkan meletakkan hadis-hadis tersebut dalam kelompok hadis-hadis palsu. Syiah hanya menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ahli al-bait atau kerabat Nabi s.a.w sahaja.
Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Dr. Musa al-Musawi, seorang yang dibesarkan dalam sebuah keluarga terhormat di kalangan masyarakat Syiah menulis sebuah buku mengajak para penganut fahaman Syiah pada hari ini untuk kembali memperbetulkan kepercayaan yang telah diselewengkan dan menyalahi pegangan Islam yang sebenar. Tegasnya, kebanyakan kepercayaan dan pengamalan Syiah pada hari ini adalah rekaan atau perkara yang diadaadakan oleh ulama serta pemimpin Syiah. Antara perkara yang ditegaskan oleh beliau ialah:
Pertama: Penganut fahaman Syiah mengamalkan taqiyyah atau berpura-pura. Ianya bermaksud melaksanakan sesuatu yang bersalahan dan berlainan daripada kepercayaan. Sebagai contoh penganut fahaman Syiah membawa batu atau tanah Karbala dan sujud di atasnya ketika solat di masjid penganut Syiah dan menyembunyikan batu tersebut ketika solat di masjid-masjid bukan penganut Syiah.
Kedua: Penganut fahaman Syiah mengadakan upacara perkabungan ke atas kematian Saidina Husain pada Hari Asyura, 10 Muharram dengan berdukacita meratap dan menangis kesedihan, memalu (memukul) serta menyeksa tubuh badan dengan rantai besi, benda tajam atau sebagainya.
Ketiga: Penganut fahaman Syiah mengamalkan Mutaah yang bermaksud kahwin kontrak atau sementara. Iaitu berkahwin dengan seorang perempuan atau lebih tanpa saksi dan tanggungjawab nafkah dalam tempoh beberapa jam, semalaman, seharian atau lebih. Mereka berpendapat bahawa kahwin Mutaah adalah diharuskan dengan syarat wanita itu tidak bernikah atau bermutaah dengan sesiapa.
Keempat: Penganut fahaman Syiah sujud di atas batu atau tanah Karbala yang dibawa oleh mereka ketika solat. Mereka juga menganggap wujudnya keberkatan daripada batu tersebut dengan menciumnya ataupun memakannya sebagai penawar menyembuhkan penyakit. Batu tersebut adalah cebisan tanah yang diambil daripada perkuburan Saidina Husain di Karbala.
Kelima: Penganut fahaman Syiah meninggalkan Solat Jumaat dengan alasan Solat Jumaat hanya wajib ketika wujud atau hadirnya Imam al-Mahdi. Namun, ketika ketiadaan Imam al-Mahdi, mereka boleh memilih sama ada melaksanakan Solat Jumaat atau melaksanakan solat Zohor. Umumnya, penganut Syiah meninggalkan solat Jumaat.
Keenam: Penganut fahaman Syiah mengamalkan jamak solat fardu iaitu Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak sama ada di dalam musafir atau tidak tanpa sebarang sebab. Walaupun ulama Syiah menfatwakan sunat hukumnya solat pada waktu-waktunya. Namun, dari sudut pengamalan mereka lebih mengamalkan jamak di antara dua solat, Zohor dan Asar dan Maghrib dan Isyak. Perkara ini boleh dilihat diseluruh tempat-tempat solat yang diurus oleh penganut-penganut Syiah.
Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Penyelewengan kepercayaan dan pengamalan Syiah yang berbeza daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah jelas. Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini. Syiah menolak hadis-hadis atau riwayat-riwayat para sahabat besar Rasulullah s.a.w seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain. Penganut fahaman Syiah mengamalkan amalan-amalan yang telah difatwakan bercanggah dengan ajaran islam yang sebenar oleh para ulama dan institusi-institusi Islam. Wallahualam.
http://www.jais.gov.my