Hubungan antara Islam, Iman dan Ihsan
Melalui 'Hadis Islam, Iman dan Ihsan' atau 'Hadis Jibril RA' dijelaskan bahawa komponen utama 'Agama Islam' adalah tiga iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Sesungguhnya, Iman itu kepercayaan atau akidah, Islam itu pengamalan atau syariat dan Ihsan itu kerohanian atau akhlak (antara hamba dan Allah SWT, antara makhluk dan Khalik). Ketiga-tiga komponen ini walaupun diperjelaskan oleh Rasulullah SAW satu persatu secara berasingan, tetapi ketiga-tiganya merupakan hakikat yang satu iaitu 'Agama' atau 'Agama Islam' itu secara kompak. Perkara ini difahami berdasarkan kesimpulan Rasulullah SAW yang di akhir 'Hadis Jibril RA' yang bermaksud "itulah Malaikat Jibril AS yang datang kepadamu untuk mengajarkan 'Agama' kamu."
Penjelasannya, 'Agama' atau 'Agama Islam' itu meliputi: [1] aspek mental atau akal iaitu kepercayaan atau keyakinan yang disebut sebagai 'Iman'; [2] aspek fizikal atau badan iaitu pengamalan atau amalan-amalan zahir yang disebut sebagai 'Islam'; dan [3] aspek spritual atau hati iaitu kerohanian atau pergantungan hati kepada Allah SWT yang disebut sebagai 'Ihsan'. Ketiga-tiga komponen ini tidak boleh dipisahkan antara satu dengan yang lain atau diabaikan salah satu daripadanya. Contoh penjelasan lain, 'Agama' itu diibaratkan sebagai sebatang pohon, benihnya atau akar umbinya 'Iman'; keseluruhan pohon yang meliputi batang, dahan, ranting, dedaun, bunga dan buahnya 'Islam'; dan penjagaan atau perapian seluruh pohon itu dari sudut kesuburan, keharuman, kemanisan dan seluruh keindahannya adalah 'Ihsan'.
Dalam 'Hadis Islam, Iman dan Ihsan' atau 'Hadis Jibril RA', Nabi SAW telah menjelaskan bahawa Iman itu ialah rukun Iman yang enam iaitu percaya kepada Allah SWT, percaya kepada para Malaikat, percaya kitab-kitab, percaya kepada para rasul, percaya hari akhirat dan percaya kepada Qadak dan Qadar. Kesemua pendetilan rukun Iman ini dapat kita pelajari, difahami dan kemudian diyakini dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu Tauhid.
Manakala Islam, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa Islam adalah rukun Islam yang lima iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT serta Nabi Muhammad itu utusan Allah SWT, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji sekiranya berkemampuan. Kesemua pendetilan rukun Islam ini dapat kita pelajari, difahami dan diamalkan dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu Fiqah.
Ada pun Ihsan, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa Ihsan itu ialah keadaan atau hubungan hamba dengan Tuhannya dia mana seorang hamba itu sentiasa merasakan pengawasan atau pemerhatian Allah SWT terhadap segala tindak tanduknya. Pendetilan rukun Ihsan ini dapat kita pelajari, difahami, ditekuni dan diamalkan dengan sebaiknya melalui pembelajaran ilmu Tasawuf.
Tuntasnya, 'Agama Islam' itu adalah Tauhid. Mentauhidkan Allah SWT itu dipraktikkan melalui kepercayaan (Iman), pengamalan (Islam) dan kerohanian atau kebertanggungan hati (Ihsan) hanya kepada Allah SWT Tuhan Yang Satu. Sumber dalam memperjelaskan apa itu Islam, Iman dan Ihsan adalah al-Quran, Sunah, Ijmak dan Qiyas atau umumnya adalah akal dan wahyu. Manakala ilmu yang perlu diambil peduli bahkan ia merupakan fardu ain iaitu kewajiban yang dituntut bagi orang perseorangan ialah ilmu Tauhid, ilmu Fiqah dan ilmu Tasawuf.
Justeru, bagaimana dengan pengamalan 'Agama' atau 'Agama Islam' kita? Adakah ketiga-tiga komponen ini iaitu Islam, Iman dan Ihsan telah kita penuhi dan ambil peduli?