Friday, July 2, 2010

Zikir: Kedudukan, Kaifiat, Jenis dan Kelebihannya


ZIKIR: KEDUDUKAN, KAIFIAT, JENIS DAN KELEBIHANNYA
(klik di sini untuk download)
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ankabut ayat 45:
وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ

Bermaksud: “sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya).”

Zikir ialah perbuatan mengingati Allah SWT dengan menyebut kalimah-kalimah seperti lafaz Tasbih (Subhanallah), Takbir (Allahu Akbar), Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (La Ilaha Illallah), Taqdis (Subbuhun Quddusun Robbuna wa Robbul Malaikati wal Ruh) dan lain-lain samada dengan lidah atau dengan hati.

Zikir merupakan sebaik-baik ibadat, ketaatan dan taqarrub kepada Allah SWT. Samada ia dilaksanakan secara perseorangan atau berkumpulan, secara senyap atau nyaring dan di masjid atau di tempat-tempat lain.

KEDUDUKAN IBADAH ZIKIR
Terdapat banyak ayat al-Quran, hadis dan athar (kata-kata sahabat dan tabiin) yang tidak terhitung bilangannya dalam menyatakan kedudukan zikir, kelebihannya, galakkan memperbanyakkannya dan amaran dari melalaikannya. Di antaranya Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab ayat 41-42:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً. وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”

Firman Allah SWT di dalam Surah al-A’raf ayat 205:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعاً وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلاَ تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ

Bermaksud: “Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara (besederhana dan tidak terlalu kuat), pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.”

Imam al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri, katanya:
أَنَّ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ: أَيّ الْعِبَادَة أَفْضَل دَرَجَة عِنْد اللَّه يَوْم الْقِيَامَة؟ قَالَ: الذَّاكِرِينَ اللَّه كَثِيرًا، قَالَ: قُلْت: يَا رَسُول اللَّه، وَمِنْ الْغَازِينَ فِي سَبِيل اللَّه؟ قَالَ: لَوْ ضَرَبَ بِسَيْفِهِ فِي الْكُفَّار وَالْمُشْرِكِينَ حَتَّى يَتَكَسَّر وَيَخْتَضِب دَمًا، لَكَانَ الذَّاكِرُونَ اللَّه أَفْضَل مِنْهُ دَرَجَة

Bermaksud: “Rasulullah SAW telah ditanya: Apakah sebaik-baik ibadat di sisi Allah SWT di hari kiamat kelak? Sabda Rasulullah SAW: Orang-orang yang berzikir kepada Allah SWT dengan sebanyak-banyaknya. Lalu aku bertanya: Adakah ia lebih baik dari mereka yang berperang di jalan Allah? Sabda Rasulullah SAW: Sekalipun dia berperang sehingga patah pedangnya dan mengalirkan darah maka sesungguhnya kedudukan mereka yang berzikir itu adalah lebih afdal kedudukannya.”

Seorang lelaki mengadu kepada Hassan al-Basri katanya: “Aku mengadu kerana kerasnya hatiku.” Kata Hassan al-Basri: “Didik dan lembutkanlah ia dengan berzikir kepada Allah SWT.”

BERZIKIR SECARA NYARING
Berzikir sebagaimana boleh dilaksanakan secara senyap begitu juga boleh dilaksanakan secara nyaring. Namun berzikir secara nyaring itu lebih menyerlahkan lagi syiar Islam, ajaran dan tuntutannya. Sebagainya tuntutan zikir itu terlaksana ketika melaksanakan ibadah azan, iqamat, takbiratul ihram ketika solat, talbiah ketika haji, bacaan nyaring ketika solat Subuh, Maghrib dan Isyak, bertasbih, bertakbir dan bertahlil ketika hari raya dan sebagainya. Semua perkara ini adalah zikir dan ia adalah amalan yang telah terlaksana semenjak zaman Nabi SAW, para sahabat dan tabiin lagi.

Berzikir secara nyaring merupakan kaedah terbaik yang mampu menarik minat orang ramai untuk turut sama berzikir. Namun, zikir secara nyaring perlulah tidak terlalu melampau sebagaimana pedoman yang disebutkan di dalam surah al-Israk ayat 110:
وَلاَ تَجْهَرْ بِصَلاَتِكَ وَلاَ تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلاً

Bermaksud: “Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.”

Berzikir secara nyaring itu lebih tinggi kedudukannya berdasarkan Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani daripada Muaz bin Anas bahawa Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman:
لا يَذْكُرُنِي عَبْدِي فِي نَفْسِهِ إِلا ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ مِنْ مَلائِكَتِي، وَلا يَذْكُرُنِي فِي مَلأٍ إِلا ذَكَرْتُهُ فِي الرَّفِيقِ الأَعْلَى

Bermaksud: “Tidaklah seorang hamba yang mengingatiku di dalam dirinya melainkan Aku turut mengingatinya di khalayak malaikatku. Begitu juga tidaklah seorang hamba yang mengingatiku di khalayak melainkan Aku turut mengingatinya di khalayak al-rafiq al-a’la (kelompok istimewa para malaikat).”

BERZIKIR SECARA BERJEMAAH
 Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى مَلَائِكَةً سَيَّارَةً فُضُلًا يَتَتَبَّعُونَ مَجَالِسَ الذِّكْرِ، فَإِذَا وَجَدُوا مَجْلِسًا فِيهِ ذِكْرٌ قَعَدُوا مَعَهُمْ وَحَفَّ بَعْضُهُمْ بَعْضًا بِأَجْنِحَتِهِمْ حَتَّى يَمْلَئُوا مَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا، فَإِذَا تَفَرَّقُوا عَرَجُوا وَصَعِدُوا إِلَى السَّمَاءِ، قَالَ: فَيَسْأَلُهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ أَعْلَمُ بِهِمْ مِنْ أَيْنَ جِئْتُمْ؟ فَيَقُولُونَ جِئْنَا مِنْ عِنْدِ عِبَادٍ لَكَ فِي الْأَرْضِ يُسَبِّحُونَكَ وَيُكَبِّرُونَكَ وَيُهَلِّلُونَكَ وَيَحْمَدُونَكَ وَيَسْأَلُونَكَ، قَالَ: وَمَاذَا يَسْأَلُونِي؟ قَالُوا يَسْأَلُونَكَ جَنَّتَكَ، قَالَ: وَهَلْ رَأَوْا جَنَّتِي؟ قَالُوا لَا أَيْ رَبِّ قَالَ: فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْا جَنَّتِي؟ قَالُوا وَيَسْتَجِيرُونَكَ، قَالَ: وَمِمَّ يَسْتَجِيرُونَنِي؟ قَالُوا مِنْ نَارِكَ، يَا رَبِّ، قَالَ: وَهَلْ رَأَوْا نَارِي؟ قَالُوا لَا قَالَ: فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْا نَارِي؟ قَالُوا وَيَسْتَغْفِرُونَكَ، قَالَ: فَيَقُولُ قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ، فَأَعْطَيْتُهُمْ مَا سَأَلُوا، وَأَجَرْتُهُمْ مِمَّا اسْتَجَارُوا، قَالَ: فَيَقُولُونَ رَبِّ فِيهِمْ فُلَانٌ عَبْدٌ خَطَّاءٌ إِنَّمَا مَرَّ فَجَلَسَ مَعَهُمْ، قَالَ: فَيَقُولُ وَلَهُ غَفَرْتُ هُمْ الْقَوْمُ لَا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ

Bermaksud: “Sesungguhnya bagi Allah SWT itu para Malaikat yang ditugaskan meninjau majlis-majlis zikir. Apabila mereka mendapati majlis zikir lalu mereka memayunginya dengan sayap-sayap mereka yang bertindih sehingga ke langit. (setelah mereka kembali) Lalu Allah SWT menanyakan (sedang Dia lebih mengetahuinya): Dari mana? Para Malaikat menjawab: Kami baru pulang dari hamba-hambu yang bertasbih, bertakbir, bertahmid, bertahlil, bermohon dan meminta perlindungan dari-Mu. Allah SWT bertanya (sedang Dia lebih mngetahuinya): Apa yang mereka mohonkan dariKu? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga. Allah SWT bertanya lagi: Adakah mereka pernah melihatnya? Para Malaikat menjawab: Tidak! Allah SWT bertanya: Bagaimana agaknya keadaan mereka sekiranya mereka melihatnya? Para Malaikat menjawab: Mereka mohonkan perlindungan dariMu. Allah SWT bertanya: Dari apa yang mereka mohonkan perlindungan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon perlindungan dari NerakaMu. Allah SWT bertanya: Adakah mereka pernah melihatnya? Para Malaikat menjawab: Tidak! Allah SWT bertanya: Bagaimana agaknya keadaan mereka sekiranya mereka melihatnya? Para Malaikat menjawab: Mereka akan memohon ampun dariMu. Kemudian Allah SWT berfirman: Bersaksikanlah bahawa Aku telah mengampunkan mereka dan Aku tunaikan permohonan mereka serta jauhkan mereka dari apa yang telah mereka minta lindung darinya. Kemudian para malaikat bertanya lagi: Ya Rob! Sesungguhnya bersama mereka itu terdapat seorang hamba yang tersilap duduk dan dia bukan dari mereka yang berzikir? Allah SWT menjawab: Dia juga turut Aku ampunkan kerana mereka itu kelompok yang tiada binasa (sia-sia) sesiapa yang turut bersama mereka.”

Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini menunjukkan kelebihan berzikir, kelebihan majlis zikir, kelebihan duduk bersama mereka yang berzikir walaupun tidak turut sama berzikir dan kelebihan bersama para solehin serta keberkatan mereka.”

BERZIKIR DI DALAM RUMAH ALLAH
Masjid adalah rumah Allah SWT dan tempat terbaik untuk berzikir. Ini kerana zikir adalah sebesar-besar ibadah dan masjid adalah sebaik-baik tempat. Dengan itu, mereka yang berzikir di dalamnya bakal beroleh ganjaran dan kelebihan yang lebih banyak. Masjid di sebutkan sebagai tempat utama untuk berzikir dan mengingati Allah SWT sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah al-Haj ayat 40:
وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيراً

Bermaksud: “dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya.”

Firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 36-37:
فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ. رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاء الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْماً تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

Bermaksud: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

BERZIKIR NYARING DI MASJID
Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Ibn Abbas RA, katanya:
أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bermaksud: “Sesungguhnya amalan menyaringkan suara dalam berzikir selepas solat fardhu itu berlaku di zaman Nabi SAW.”

Imam Ibn Hajar al-Asqolani mengomentar riwayat di atas dan berkata: “Ini merupakan dalil yang mengharuskan amalan zikir secara nyaring sesudah solat.”

Kesimpulannya, mereka yang berzikir nyaring berjemaah di dalam masjid itu memperolehi tiga kelebihan serta keutamaan; Pertama: fadilat atau kelebihan berzikir, kedua: fadilat atau kelebihan berkumpul untuk berzikir dan ketiga: fadilat atau kelebihan berzikir di dalam masjid.

Amalan zikir secara berjemaah di negara ini selepas solat merupakan amalan yang dianjurkan dan baik kerana ia mengajar masyarakat Muslim Malaysia yang tidak berpengetahuan Bahasa Arab dengan kaifiat berzikir dan mendidik serta menimbulkan minat mereka untuk konsisten dengan zikir-zikir. Namun, amalan berzikir nyaring secara berjemaah perlulah terkawal dan dijaga agar tidak mengganggu jemaah atau individu yang sedang menunaikan solat terutamanya solat fardhu. Wallahualam.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 88: 
إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Bermaksud: “Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepadaNyalah aku kembali.”