GEJALA FITNAH MERUNTUHKAN UMMAH
Fitnah bermaksud tuduhan sama ada berita, kisah dan sebagainya yang diada-adakan bertujuan memburukkan atau membencanakan seseorang, sesebuah institusi atau kumpulan dan seumpamanya. Dalam zaman serba moden dan era teknologi ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui siaran televisyen atau radio, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, laman sesawang atau blog dan sebagainya. Penyebaran berita fitnah tersebut berlaku dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang kewaspadaan untuk menyelidik maklumat yang diterima seterusnya tanpa teragak-agak disampaikan kepada yang lain. Sikap ini amat ditegah oleh Islam. Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang sampai terutamanya melalui orang fasik iaitu mereka yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT diselidiki terlebih dahulu sebelum disampaikan kepada yang lain. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.Berdasarkan ayat di atas, wajib bagi setiap Muslim menghalusi segala berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita yang diterima terlebih dahulu perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Gejala menabur fitnah adalah sesuatu yang keji dan amat dibenci oleh Islam sehingga ianya dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.
Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak. Termasuk dalam sikap buruk ini apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Penyebar berita biasanya menyebut "dengar khabar" atau "khabar angin". Bagaimanapun, apabila berita tersebut disampaikan daripada seorang ke seorang, diulang-ulangkan, maklumat yang belum sahih itu sudah menjadi fakta dan berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika individu yang dikaitkan dengan berita itu tidak mahu beritanya disebarkan. Menyebarkan berita benar dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar. Di antara ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah:
Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak. Termasuk dalam sikap buruk ini apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Penyebar berita biasanya menyebut "dengar khabar" atau "khabar angin". Bagaimanapun, apabila berita tersebut disampaikan daripada seorang ke seorang, diulang-ulangkan, maklumat yang belum sahih itu sudah menjadi fakta dan berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika individu yang dikaitkan dengan berita itu tidak mahu beritanya disebarkan. Menyebarkan berita benar dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar. Di antara ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah:
Pertama: Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam al-Bukhari daripada Huzaifah RA bermaksud:
Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah.Kedua: Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 12 bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha mengasihani.Ketiga: Penabur fitnah dan pengumpat disiksa di dalam kubur. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas RA bermaksud:
Sesungguhnya mereka berdua diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak dapat mengetuskan air kencingnya dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah.Keempat: Nabi SAW menyebutkan bahawa penabur fitnah tidak masuk Syurga. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam al-Bukhari daripada Huzaifah RA bermaksud:
Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah.Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Selain ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang disebutkan oleh syarak, fitnah juga turut membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Di antara keburukan dari gejala menabur fitnah ialah:
Pertama: Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memberi kemaafan terhadap perbuatan tersebut. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Kerana itu mereka mudah menyebarkan berita tanpa usul periksa.
Kedua: Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan. Kerana itu, menyebar fitnah diumpamakan sebagai api yang membakar ranting kering kerana ia cepat merebak sehingga akhirnya menjadi abu.
Ketiga: Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Sikap seperti ini bertujuan menonjolkan diri dan menganggap dirinya lebih baik atau lebih layak berbanding orang yang diburukkan. Banyak pihak yang terbabit menyebar fitnah terkadang tidak mempunyai sebarang kepentingan. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, amalan yang hina ini ibarat memberi satu kepuasan.
Keempat: Gejala menabur fitnah boleh menganggu gugat kestabilan dan keamanan Negara. Oleh itu, usah biarkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling sebagai mereka yang mencemarkan negara ini dengan menimbulkan huru-hara daripada fitnah-fitnah yang dibuat dan disebarkan.
Kelima: Fitnah boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu dan perkumpulan begitu juga ia boleh menyebabkan kerugian dari segi kewangan. Ini kerana saman malu boleh dibuat terhadap penyebar fitnah dan bakal mengakibatkan perkara-perkara yang disebutkan di atas.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 58 bermaksud:
Petikan khutbah JAIS: "Gejala Fitnah Meruntuhkan Ummah", 24 Ogos 2012.Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.