Thursday, July 3, 2014

Ahli Fiqah Ibarat Para Doktor & Ahli Hadis Ibarat Ahli Farmasi


AHLI FIQAH IBARAT PARA DOKTOR & AHLI HADIS IBARAT AHLI FARMASI

Hari ini kedengaran pelbagai kumpulan yang mempersoalkan amalan atau ibadat yang sedia dimaklumi dan dilaksanakan oleh masyarakat kita. Munculnya individu-individu sama ada tiada kelulusan atau berkelulusan hadis sama ada memiliki Bachelor, Master atau Ph.D mempersoalkan amalan ini adalah daripada hadis dhaif atau tiada sumber dan sebagainya. Peliknya, adakah lulusan-lulusan hadis ini lebih alim, pandai atau hebat berbandingan ulama-ulama silam terdahulu? Adakah ulama terdahulu tidak tahu hadis itu dhaif, hadis ini ada kecacatan ('ilal) dan pelbagai lagi kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan-golongan terkemudian ini? Pelik! Tidak masuk akal!

Sesungguhnya, imam-imam mazhab empat yang mulia iaitu Imam Abu Hanifah al-Nu'man bin Thabit, Imam Malik bin Anas, Imam Muhammad bin Idris al-Shafi'i dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah muhaddithin (ahli hadis) dan fuqaha' (ahli fiqah). Generasi terdahulu tidak akan menjadi ahli fiqah kecuali mereka adalah ahli hadis. Mereka adalah pakar dalam bidang hadis dan pakar dalam bidang fiqah.

Penelitian melihat bahawa sifat atau tahap sebagai ahli fiqah lebih kepada Imam Abu Hanifah berbanding sifat atau tahapnya sebagai ahli hadis. Ada pun sifat atau tahap sebagai ahli hadis lebih kepada Imam Ahmad berbanding sifat atau tahapnya sebagai ahli fiqah. Manakala Imam Malik dan Imam al-Shafi'i, sifat atau tahap sebagai ahli fiqah dan ahli hadis adalah sama. Kesimpulannya, kesemua mereka adalah pakar dan ahli hadis dan ahli fiqah.

Ahli fiqah diibaratkan sebagai doktor manakala ahli hadis diibaratkan sebagai ahli farmasi. Sesungguhnya, doktor itu lebih mengetahui penyakit dan ubat yang sesuai melalui analisis dan diagnosisnya. Manakala ahli farmasi hanya mengetahui ubat-ubat itu untuk penyakit ini, ubat ini untuk penyakit itu atau ubat itu baik atau tidak baik tetapi bukan berdasarkan analisis dan diagnosis. Doktor mengetahui penyakit, ubat dan sebab dengan analisis dan diagnosis. Manakala ahli farmasi hanya mengetahui penyakit dan ubat tanpa mengetahui kesesuaian atau sebabnya.

Imam Sulayman bin Mahran al-A'mash seorang ulama dan tokoh hadis terkenal di zamannya telah bertanya hukum-hukum syarak kepada Imam Abu Hanifah dan segala persoalan tersebut telah di jawab dengan baik. Dengan takjub, Imam al-A'mash bertanya: "Bagaimana kamu mendapat pengetahuan berkaitan kesemua persoalan ini?" Kata Imam Abu Hanifah: "Melalui segala hadis yang telah kamu riwayatkan kepada kami. Kamu meriwayatkan hadis maka kami istinbat (keluarkan) hukum hakamnya." Imam al-A'mash mengulas kata-kata Imam Abu Hanifah dan membuat kesimpulan: "Kamu (ahli fiqah) adalah para doktor manakala kami (ahli hadis) adalah ahli farmasi." (Lihat: Jami' Bayan al-'Ilm wa Fadhlih li Ibn 'Abd al-Bar;al-Faqih wa al-Mutafaqqih li al-Baghdadi).

Kesimpulannya, ahli hadis (lulusan hadis belum tentu layak di golongkan dalam ahli hadis apatah lagi digelar sebagai muhaddith) yang bukan ahli fiqah hanya mengetahui kedudukan hadis sama ada sahih, hasan, dhaif dan sebagainya. Praktikal terhadap pengamalan hadis-hadis tersebut atau hukum-hukumnya mestilah dirujuk kepada ahli fiqah atau kitab-kitab fiqah. Realitinya, segala perbincangan hadis-hadis dan hukum-hukum telah diperbincangan oleh muhaddith (ahli hadis) dan fuqaha' (ahli fiqah) terdahulu yang mulia. Kita hanya perlu rujuk hukum-hakam dalam kitab-kitab fiqah kecuali kita adalah benar-benar muhaddithin (ahli hadis) dan fuqaha' (ahli fiqah).

Justeru, janganlah gusar apa lagi ragu-ragu apabila wujud suara-suara (yang menimbulkan keraguan serta huru-hara dalam masyarakat) dengan mengatakan amalan atau ibadat ini berdasarkan hadis dhaif (hadis dhaif bukannya hadis maudu'), kerana amalan atau ibadat tersebut telah dianalisis dan didiagnosis oleh muhaddithin (ahli hadis) dan fuqaha' (ahli fiqah) yang hebat dan terkemuka!