Tuesday, July 10, 2012

Berpegang Kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

BERPEGANG KEPADA AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) merupakan pegangan dominan di kalangan masyarakat Islam hampir diseluruh dunia khususnya di rantau Asia Tenggara termasuk negara kita Malaysia. Malaysia di antara negara yang menjadikan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi masyarakat Islam di negara ini berdasarkan keputusan dan pengamalan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan para mufti serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 ketika membincangkan Syiah di negara ini menetapkan:
“Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.”
Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah berasal dari dua patah perkataan iaitu “ahl al-Sunnah” dan “al-Jamaah” yang memberi maksud golongan yang mengikuti pegangan atau mengikuti jalan hidup Baginda SAW dan jamaah para sahabat terutamanya para khulafa’ al-Rasyidin yang dididik oleh Baginda SAW. Ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah meliputi ajaran-ajaran Islam mengenai akidah, syariah dan akhlak yang dibawa semenjak zaman Nabi SAW serta para sahabat RA.

Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah diambil dan dirumus oleh ulama berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW. Di antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tarmizi daripada Abdullah bin Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya telah berpecah Bani Israil kepada tujuh puluh dua (72) kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (73) kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu (1) kelompok. Mereka bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Baginda SAW menjawab: Mereka adalah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para sahabatku.”

Berdasarkan riwayat hadis di atas dan riwayat-riwayat lain yang seerti dengannya, para ulama telah membuat kesimpulan bahawa maksud mereka yang mengikut sunnah Rasul dan para sahabat ialah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu pegangan yang berakar umbi dari ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Kemudian, disusun dengan lebih bersistem dan teguh oleh dua tokoh imam Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu Imam Abu al-Hassan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya. Sementara ajaran-ajaran lain disifatkan sebagai ajaran yang keliru, menyeleweng dan mempunyai kecenderungan yang jauh daripada ajaran yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Antara ciri-ciri pegangan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah:

Pertama: Berpegang dan menafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan kepada sumber perundangan utama iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qias tanpa menolak atau mengurangkan peranan salah satu darinya.

Kedua: Berpegang kepada ajaran Islam yang meliputi perkara mengenai Iman iaitu akidah, Islam iaitu syarak dan Ihsan iaitu akhlak.

Ketiga: Berpegang kepada al-Quran yang dihimpunkan oleh para sahabat terutamanya al-Quran yang dikenali sebagai Mashaf Uthmani serta berpegang kepada al-Sunnah terutamanya hadis-hadis yang dihimpunkan oleh imam-imam besar hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi, Imam Abu Daud, Imam Nasa’i, Imam Ibn Majah dan imam-imam lain yang diiktiraf.

Keempat: Berkepercayaan bahawa para sahabat kesemuanya bersikap benar dan adil tanpa mengkufurkan salah seorang dari mereka. Terutamanya, para khulafa’ al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA, Saidina Uthman RA dan Saidina Ali RA.

Kelima: Percaya dan beriman kepada perkara ghaib terutamanya yang sabit melalui al-Quran dan al-Sunnah seperti siksaan azab kubur, pembalasan Syurga dan Neraka dan sebagainya.

Keenam: Tidak mengkufurkan saudara se-Islam atau yang berkiblatkan Kaabah (ahl al-Qiblah) dengan mudah kecuali dengan pertimbangan ilmu atau hujjah yang kuat dan sikap yang adil.

Ketujuh: Kesederhanaan dalam kepercayaan dan pengamalan iaitu tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu cuai (bayna ifrat wa tafrit).

Adapun fahaman-fahaman lain seperti Syiah, Rafidhah, Khawarij, Qadariyyah, Murji’ah, Jahmiyyah dan sebagainya, mereka telah menyalahi sebahagian atau semua dari perkara di atas. Seperti menolak al-Quran dan al-Sunnah, menafsirkan Islam berdasarkan akal semata-mata dan kehendak nafsu, mengkufurkan para sahabat, bersikap ekstrem dan sebagainya. Justeru, fahaman dan ajaran seperti yang disebutkan di atas tertolak dan tidak tergolong di dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Sikap kerajaan dan institusi Islam di Malaysia dalam menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi tidak lain bertujuan untuk dijadikan sebagai panduan dan pegangan hidup serta pengamalan masyarakat Islam di negara ini. Ternyata sikap ini turut memberi impak positif yang berpanjangan dalam menyatupadukan umat dan kestabilan negara. Oleh itu, sebarang usaha untuk memasukkan ajaran dan fahaman yang berlainanan daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berlainan daripada pengamalan biasa masyarakat Islam di negara ini dianggap sebagai usaha untuk mengacau-bilaukan kestabilan dan keharmonian negara.

Diharapkan kerjasama daripada seluruh masyarakat Islam di negeri ini untuk sama-sama membenteraskan ajaran dan fahaman yang menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai menyahut seruan Allah SWT iaitu tolong menolong dalam membuat perkara kebajikan dan takwa.

Sidang pembaca yang di rahmati Allah,
Akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu-satunya akidah dan pegangan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW selamat dari api neraka. Ianya juga adalah pegangan rasmi institusi dan masyarakat Islam di negara ini yang perlu dipegang dan dipertahankan. Justeru, sebarang ajaran, fahaman, pegangan atau ideologi yang bercanggah dan menyeleweng daripada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang difatwakan oleh Majlis Agama atau Pejabat Mufti negeri-negeri seluruh Malaysia perlu dijauhkan. Wallahualam.

Petikan khutbah JAIS: "Berpegang Kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah", 29 Jun 2012.