Friday, March 6, 2015

ISU WAHABI: Fahaman ekstrem, pecah belah ummah wajar ditolak

FAHAMAN EKSTREM, PECAH BELAH UMMAH WAJAR DITOLAK
[Berita Harian 5 Mac 2015, halaman 34]


Sejurus selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan memutuskan fahaman Wahabi bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) maka isu Wahabi kembali panas di tanahair. Sebelum itu, isu Wahabi hangat diperkatakan apabila Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang melarang sebarang bentuk penyebaran ajaran Wahabi. Pelbagai reaksi dan interaksi dilontarkan oleh para individu berpengaruh di negara ini sama ada ahli agama, ahli akademik dan tidak terkecuali ahli politik. Isu ini sedikit sebanyak memperlihatkan kepada kita siapa sebenarnya Wahabi? Atau siapakah individu-individu berfahaman Wahabi?

Wahabi bukanlah satu mazhab tetapi satu aliran atau bentuk gerakan pemikiran agama yang dinisbahkan kepada Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Berdasarkan sejarah, Wahabi tidak mewakili arus perdana mazhab Ahl Sunah Waljamaah seperti mazhab akidah ASWJ iaitu Asha’irah dan Maturidiyah, atau mazhab fiqah ASWJ sama ada Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Namun, para pengikut Wahabi mendakwa mereka berakidah 'Salaf' dan bermazhab fiqah berdasarkan al-Quran dan Sunah atau setidaknya hampir kepada mazhab Hanbali.

Realitinya, mazhab Ahli Sunah Waljamaah berdasarkan pengamalan dan pembawaan di seluruh dunia khususnya di Malaysia ini melalui fahaman akidah Asha’irah dan fiqah Shafi’i tidak mudah mengeluarkan sesuatu aliran, fahaman atau bentuk pemikiran daripada ASWJ kecuali apabila fahaman tersebut benar-benar menyalahi usul akidah Islam dan perkara ini hanya dapat dikenal pasti oleh para ilmuwan. Sesuatu fahaman itu tidak dikeluarkan dari ASWJ pada perkara cabang fiqah yang sememangnya penuh dengan pelbagai pendapat dan hujah-hujah bahkan diamalkan sama ada dengan mazhab Shafi’i, Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Justeru, takrifan Wahabi bukanlah individu yang tidak melakukan amalan seperti doa qunut, zikir dan tahlil. Ini semua isu perkara cabang fiqah yang boleh dilaksanakan atau ditinggalkan. Persoalannya, siapa atau aliran, fahaman dan bentuk pemikiran manakah yang mempertikaikan isu perkara cabang fiqah ini? Sekian kurun atau abad lamanya masyarakat Islam di Nusantara ini aman damai dengan pengamalan serta ibadah mereka. Namun, siapakah yang membangkitkan isu-isu yang boleh memecahbelahkan perpaduan sehingga merugikan negara ini?

Fahaman Wahabi secara dasar atau akidahnya tertolak apabila meletakkan sifat-sifat kemanusiaan itu kepada Tuhan sedangkan ia menyalahi al-Quran. Namun, perkara ini hanya diketahui oleh para ilmuwan. Bahkan, individu yang menjadi penyokong dan pendokong fahaman Wahabi atau yang tidak mengaku Wahabi tetapi mendakwa Salafi tidak mempunyai pengetahuan berkaitan isu rumit ini. Perkara ini juga tidak dapat diukur dengan mudah hanya dengan nama 'Wahabi'. Justeru, imam-imam di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak boleh dikelompokkan terus atau dengan mudah di dalam fahaman Wahabi khususnya dalam fahaman isu berkaitan sifat-sifat Tuhan.

Selain tu, fahaman Wahabi tertolak kerana cenderung dan mudah mengeluarkan orang Islam daripada agama apabila tidak sealiran dengan mereka dengan label 'bidaah', 'sesat', dan akhirnya ke neraka (kecuali beberapa individu yang diberi rahmat oleh Allah SWT). Mereka bukan sahaja mengeluarkan Asha’irah pegangan akidah dominan masyarakat negara ini daripada Ahli Sunah Waljamaah bahkan mengkafirkan. Persoalannya, bagaimanakah nasib generasi terdahulu yang terdiri daripada nenek moyang kita apabila Asha’irah didakwa terkeluar daripada Islam? Inilah asas kenapa Wahabi disifatkan "bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah". Isunya, siapa sebenarnya yang memecahbelahkan perpaduan umat?

Justeru, menurut pandangan saya tindakan pihak berkuasa agama sama ada Jawatankuasa Agama Negeri Pahang, Jawatankuasa Agama Negeri Sembilan dan sebagainya lagi bukanlah mengeluarkan fahaman Wahabi itu daripada Ahli Sunah Waljamaah secara total apatah lagi daripada Islam. Tetapi ia sebagai langkah pencegahan setelah sekian lama fahaman yang dilabel sebagai 'Wahabi' ini menjalankan peranan serta aktiviti mereka. Kerana itu, kenyataan pihak berkuasa yang keluar ialah "melarang sebarang bentuk penyebaran ajaran Wahabi", "Wahabi tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini", "bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah" dan sebagainya. Hakikatnya, setiap negara atau negeri berhak menghalang segala usaha yang boleh menimbulkan sebarang kekacauan atau kacau bilau di dalam masyarakat.

Kesimpulannya, kita menolak bahkan menentang sebarang bentuk pemikiran Islam yang bersifat ekstrem. Seperti kita menentang pemikiran dan gagasan ISIS (Islamic State of Iraq and al-Sham) atau sebarang benih pemikiran ke arah ideologi ISIS. Ini yang amat kita tentang kerana ia bukan daripada Islam serta menyalahi Islam yang bersifat Wasatiyyah iaitu kesederhanaan. Akhirnya, penghargaan dan tahniah kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia di atas penubuhan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM). Diharapkan IWM dapat terus berperanan sebagai pusat yang dapat menjaga aplikasi Wasatiyyah (kesederhanaan) di negara ini agar keamanan dan kesejahteraan terus terpelihara.

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah (JUF), Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Ahli Jawatankuasa, Pertubuhan Ilmuwan Sunni Malaysia (SUNNI).