Sunday, March 4, 2012

Hulubalang Islam


HULUBALANG ISLAM
"Mengapa musuh berani menceroboh istana? Jawabnya adalah kerana para hulubalangnya sedang lena atau sedang melahap hidangan di pinggir huma. Apabila musuh melihat hulubalang tidak mengawal dan melindungi istana, maka musuh tidak gentar menceroboh kamar diraja."
Hulubalang ialah pengawal keamanan. Di saat Islam dihujani serangan hebat diayah Kristianisasi di negara ini siapa dan dimanakah hulubalang yang mempertahankan agama suci ini? Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Akan sentiasa wujud satu golongan dari umatku yang menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka sehinggalah tibanya hari kiamat." (Muslim 1426H: hadis 1920).

Hulubalang Islam dari India
Ketika India di bawah cengkaman penjajah Inggeris, para mubaligh Kristian yang turut serta berusaha merosak dan menghapuskan akidah dan keyakinan umat Islam di sana. Para paderi kristian yang diketuai Pfander ketika itu secara terang-terangan mengajak umat Islam menganut kristian. Pfander yang bongkak dan terang-terangan menghina Islam dan kaum Muslimin. Beliau menulis pelbagai buku membuat tohmahan terhadap Islam turut memcabar para ulama Islam berdebat. Keadaan ini mendorong seorang ulama iaitu Syeikh Rahmatullah bin Khalil al-Rahman al-Kairanawi al-Hindi al-Uthmani bangkit mempertahankan kesucian Islam dan berdebat dengan Pfander.

Syeikh Rahmatullah bin Khalil al-Rahman al-Kairanawi al-Hindi al-Uthmani adalah dari keturunan Saidina Uthman bin Affan RA. Iaitu datuk beliau yang ke-34. Beliau dilahirkan di perkampungan Kairana yang terletak tidak jauh dari kota Delhi, India pada Jamadilawal tahun 1233 Hijrah bersamaan tahun 1818 Masehi. Setelah perdebatan dengan Pfander, beliau diburu dengan habuan kewangan dari pihak penjajah. Beliau akhirnya mencari perlindungan dan sampai di Makkah pada tahun 1862 Masehi. Pada tahun 1864 Masehi beliau telah menulis kitab Izhar al-Haq atas permintaan Syeikh Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Makkah dan Sultan Uthmaniyyah ketika itu. Pada tahun 1285 Hijrah beliau telah mengasaskan al-Madrasah al-Saulatiyyah yang masyhur melahirkan ramai para ulama. Beliau akhirnya telah menemui Tuhannya pada 22 Ramadhan tahun 1308 Hijrah bersamaan 1 Mei tahun 1891 Masehi di Makkah.

Dikisahkan, setelah melakukan persiapan mengkaji agama Kristian dan kitab suci mereka, Syeikh Rahmatullah berulang kali mengutus surat mengajak paderi Pfander berdebat di khalayak ramai untuk membuktikan kebenaran Islam dan kepalsuan kristian. Maka pada 11 Rejab 1270 Hijrah bersamaan 10 April 1855 Masehi berlakulah perdebatan antara Syeikh Rahmatullah dengan Paderi Pfander di Khan Abd al-Masih, Agra. Mereka membincangkan lima permasalah utama; 1)Adanya penyelewengan dalam kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. 2) Adanya perubahan pada dua buah kitab tersebut. 3) Pembatalan konsep Triniti. 4) Kebenaran Nabi Muhammad SAW. 5) Kebenaran al-Quran.

Perdebatan membincang dua tajuk iaitu adanya penyelewengan dan perubahan dalam kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru diantara mereka berlansung selama dua hari. Pfander memperakui dua kebenaran fakta tersebut. Namun pada hari ketiga perdebatan tidak diteruskan kerana alasan-alasan yang dibuat Pfander kerana tidak mahu membincangkan isu-isu yang berbaki. Akibat dari kekalahan ini Paderi Pfander melarikan diri ke Jerman. Pfander kemudian diutuskan ke Turkey dan beliau membuat penipuan bahwa beliau telah menang dalam perdebatannya sewaktu di India. Sultan Uthmaniyyah iaitu Abd al-Aziz Khan kemudian menjemput Syeikh Rahmatullah ke Turkey tetapi Pfander sekali lagi melarikan diri. Akhirnya, tertulislah sebuah kitab membincangkan lima isu utama yang mahu diperdebatkan sebelum itu diberi nama “Izhar al-Haq” (Lihat: Rahmatullah 1422H:15-52).

Hulubalang Islam dari Afrika Selatan
Ketika seorang pemuda bertugas di sebuah kedai yang terletak berdekatan dengan tempat persediaan Mubaligh Kristian, hadir beberapa orang dari mereka melontarkan persoalan yang memburukkan Islam. Kata mereka: "Adakah kamu tahu Muhammad itu berkahwin ramai?", "Adakah kamu tahu Islam tersebar dengan pedang dan kekerasan?", "Adakah kamu tahu Muhammad menakalkan kitabnya dari Yahudi dan Nasrani?" Kata hati pemuda itu: "Apakah yang perlu aku buat sebagai seorang Muslim?", "Bagaimana aku mahu menangkis segala persoalan tersebut?" Penemuan kitab "Izhar al-Haq" akhirnya merubah kehidupan beliau menjadi seorang pejuang dan hulubalang Islam terkenal.

Beliau ialah Syeikh Ahmad Hussin Deedat lahir pada tahun 1918 di Bandar Sirat, India. Beliau telah berhijrah ke Afrika Selatan pada tahun 1927 Masehi. Kerana kemiskinan beliau tidak dapat meneruskan pengajian. Pada tahun 1934 beliau telah bekerja sebagai peruncit sehinggalah menjadi pengurus di sebuah kilang. Selepas mendalami agama Kristian beliau giat dan tekun mempertahankan agama Islam. Akhirnya pada Isnin, 8 Ogos 2005, pendakwah dan mujahid Islam ini telah menemui Tuhannya (Lihat: Deedat t.th.:9-17).

Penutup
Musuh Islam semakin hari semakin berani. Mereka berani kerana kita sentiasa berasa lemah. Mereka berani kerana tiada siapa yang bangun melawan dan membantah. Mereka berani kerana tiada hulubalang Islam yang gah! Persoalannya, dimanakah hulubalang dan pendakwah Islam? Ayuh! Mari sama-sama kita persiapkan diri untuk menjadi hulubalang Islam atau membantu dalam menyedia dan mempersiapkan mereka. Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 bermaksud: "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)."
RUJUKAN

1-Ahmad Deedat. t.th. Hazihi Hayati Sirati wa Masirati. Terj. Ashraf Muhammad al-Wash. Kaherah: Dar al-Fadhilah.
2-Muslim bin al-Hajjaj al-Qushairi al-Naisaburi. 1426H/2005M. Sahih Muslim. Kaherah: Dar al-Afaq al-Arabiyyah.
3-Rahmatullah bin Khalil al-Rahman al-Kairanawi al-Uthmani al-Hindi. 1422H/2001M. Izhar al-Haq. Muhammad Ahmad Muhammad Abd al-Qadir Khalil Malkawi (pnyt.). Kaherah: Dar al-Hadis.