Tuesday, January 22, 2013

Drama bersiri "Omar Radiallahuanhu"

DRAMA BERSIRI "OMAR RADIALLAHUANHU"

Drama bersiri 30 episod "Omar radiallahuanhu" atau versi Youtube-nya yang berjudul "Omar Series" karya gandingan Dr. Walid Syaif (penulis skrip ) dan Hatim Ali (direktur) merupakan hasil karya seni terbaik dan perlu diteruskan dengan dalam siti-siri lain dalam mengetengahkan lagi watak-watak dari tokoh-tokoh terkemuka Islam. Drama bersiri ini mengisahkan watak dan keperibadian Saidina Omar radiallahuanhu bermula zaman mudanya sehinggalah beliau menjadi khalifah dan akhirnya ditikam oleh musuh Islam iaitu Abu Lu'luah. Selain itu, sejarah Islam berkaitan yang dilalui oleh Saidina Omar radiallahuanhu seperti sejarah awal Islam di Mekah, peperangan-peperangan besar dalam Islam seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Azhab dan sebagainya turut digambarkan dalam drama bersiri ini. Berdasarkan kepada kekuatan drama ini, segala fakta sejarah yang dikemukakan adalah mendapat nasihat dan pengesahan daripada tokoh-tokoh ulama kontemporari terkemuka seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr. Akram Diya' al-Umari, Dr. Salman al-Audah dan lain-lain.
Gambar: Watak Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Saidina Othman dan Saidina Ali RA yang dilakonkan.
Bagi penulis, penggambaran "Omar radiallahuanhu" begitu menarik kerana ia berjaya menimbulkan perasaan suka-duka, rasa semangat dan motivasi serta 1001 perasaan lain melalui babak-babak yang dilakonkan.

Semoga filem atau drama seumpama ini mendapat tempat di siaran-siaran televisyen tanah air dan sering dipertontonkan. Semoga rakyat Malaysia memperoleh manfaat yang berpanjangan. Wallahualam.

SELAMAT MENONTON!

P/s: Drama bersiri "Omar radiallahuanhu" boleh ditonton melalui Youtube dengan judul "Omar Series" atau di download terus melalui laman-laman tertentu atau laman torrent dengan saiz yang hampir mencecah kepada 17 gigabait bagi 30 episod. Setiap episod adalah dalam lingkungan 45 minit.