Thursday, December 2, 2010

Hadiah al-Quran Untuk Dakwah

HADIAH AL-QURAN UNTUK DAKWAH
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: Utusan Malaysia, 30 November 2010 (Mega, m.s. 22-23)

TERTARIK apabila membaca pengakuan selebriti Daphne Iking dalam akhbar Kosmo! baru-baru ini.

"Terbaru saya sedang membaca buku berkisar Understanding Islam (A Brief Illustrated Guide To Understanding Islam oleh I.A. Ibrahim). Sebelum itu, saya memohon supaya umum tidak salah faham.

"Sejujurnya, saya selalu ada perasaan ingin tahu tentang agama. Kerana itu, saya mahu pastikan dapat mengulas sesuatu perkara dengan tepat.

"Buku ini mengajar panduan asas Islam. Ia memudahkan saya belajar tentang perkara boleh dilakukan atau dilarang dalam agama ini," katanya.

Jika Daphne berusaha mengenali dan memahami Islam, tidakkah sebagai umat Islam, kita perlu mengambil inisiatif untuk menghadiahkan buku-buku mengenai Islam itu kepada yang bukan Islam?

Buku-buku Islam sahajakah? Bagaimana jika kitab al-Quran itu sendiri kita jadikan hadiah?

Pemberian al-Quran sebagai 'hadiah' kepada yang bukan Islam tentu sahaja daripada hati yang sangat ikhlas semata-mata tidak sahaja untuk tujuan dakwah tetapi sekurang-kurangnya membantu mereka supaya mempunyai maklumat yang lebih tepat mengenai Islam.

Tetapi tahukah anda, pemberian yang seperti ini sebenarnya terikat atau tertakluk kepada syarat dan peraturan!

Ini sebagaimana yang dibentangkan dalam kertas kerja bertajuk 'Pemberian al-Quran Kepada Bukan Muslim Sebagai Mekanisme Dalam Berdakwah: Satu Tinjauan Hukum Syarak' oleh pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi Selangor, Wan Haslan Khairuddin.

Beliau antara 30 ahli akademik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dalam dan luar negara yang menyampaikan kertas kerja di Seminar Antarabangsa Dakwah dan Pengurusan Islam: Praktis dan Prospek ( ICDAIM 2010).

Seminar dua hari bermula 23 November itu diadakan di sebuah hotel di ibu negara. Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Seminar yang bertemakan Ke arah Pengukuhan Organisasi dan Ummah itu dianjurkan bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Pada dasarnya, Wan Haslan berkata, walau apa pun tujuan sama ada penjualan dan pemberian al-Quran kepada yang bukan Islam, jelas dinyatakan haram.

Malah wajib bagi setiap umat Islam mendapatkan semula naskhah al-Quran yang berada di tangan bukan Islam itu (waima mereka dalam keadaan berhadas sekali pun).

Ini berdasarkan dalil firman Allah SWT yang bermaksud: Tidak menyentuhnya (al-Quran) kecuali orang-orang yang disucikan. (al-Waqiah: 79)

Menurut Mazhab Syafie, tidak sah hukum jual beli mushaf al-Quran kepada bukan Muslim. Bahkan haram hukumnya di sisi Mazhab Hanbali kerana mereka ditegah secara berterusan memiliki al-Quran.
Secara umumnya, ketiga-tiga mazhab iaitu Maliki, Syafie dan Hanbali mensyaratkan Islam dalam hukum penjualan mushaf al-Quran.

Namun kata Wan Haslan, dengan kecanggihan teknologi moden hari ini, naskhah al-Quran sama ada dalam bentuk audio, visual dan sebagainya tidak dapat dikawal daripada berada di tangan bukan Islam.

"Di samping perkembangan dunia akademik yang lebih terbuka dan bersifat objektif menuntut para pengkaji terlebih dahulu meneliti dan menganalisis sesuatu dokumen sebelum mengesahkan kebenaran dan tahap satu-satu fakta.

"Justeru, al-Quran tidak terkecuali daripada diteliti, dikaji dan dianalisis oleh pengkaji yang pelbagai latar belakang agama sebelum disahkan kebenaran fakta-faktanya," katanya.

Lalu dapatkah kita menahan mereka yang bukan Islam hari ini daripada 'memiliki' al-Quran?

Dalam hal itu kata Wan Haslan, tidak dapat dinafikan minat dan perhatian bukan Islam terhadap al-Quran sebenarnya memberi faedah kepada Islam itu sendiri.

Malah, katanya, ramai mereka akhirnya mendapat hidayah dan memeluk Islam selepas memberi tumpuan terhadap isi kandungan al-Quran.

"Justeru, mengapakah tidak diberi atau edarkan al-Quran kepada yang bukan Islam kerana tujuan dakwah," soal beliau.

Pemberian al-Quran kepada bukan Muslim ini boleh dijadikan mekanisme berdakwah dalam menyahut seruan dakwah al-Quran.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah. (al-Nahl: 16).

Wan Haslan berkata, dalam al-Quran ada beberapa ayat yang menegaskan bahawa kitab suci itu bukan sahaja petunjuk khusus kepada orang Muslim, beriman dan bertakwa bahkan ia adalah petunjuk seluruh manusia dan sekelian alam.

Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). (al-Baqarah: 185).

Dalam surah ali-'Imran, ayat 138 pula Allah berfirman dengan maksud: (al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
Berdasarkan ayat-ayat yang dikemukakan, kata Wan Haslan, jelas menunjukkan al-Quran itu merupakan petunjuk kepada seluruh manusia dan sekelian alam (jin dan manusia) kerana di dalamnya terdapat pelbagai ilmu, rahsia dan keajaiban.

"Fakta-fakta al-Quran ini mengagumkan para pengkaji dan ada di kalangan mereka yang terdiri dari bukan Muslim akhirnya menganut Islam setelah menemui keajaiban al-Quran yang pelbagai itu," katanya.

Menurut Wan Haslan, bukan sahaja Saidina Umar yang terkenal dengan sikap degil dan anti Islam akhirnya tunduk kepada Islam selepas mendengar dan menghayati isi kandungan al-Quran malah hari ini ramai tokoh dunia yang turut melalui apa yang dilalui oleh Umar.

Ini termasuklah kisah Dr. Jefry Lang yang berhadapan dengan banyak persoalan keagamaan di dalam agama Kristian yang akhirnya menyebabkan beliau menjadi ateis.

Persoalan-persoalan tersebut terus bermain di kotak fikirannya sehinggalah seorang rakan Muslim memberikannya senaskhah al-Quran dan beberapa buku mengenai Islam.

Beliau membaca al-Quran secara bersendirian dan terpesona dengannya.

"Setiap malam aku akan merumuskan soalan-soalan dan penafian dan akan menemui jawapannya pada hari esoknya. Ia kelihatan seolah-olah al-Quran membaca pemikiranku," kata Dr Jeffry Lang yang akhirnya memeluk Islam.

Seterusnya kisah Cat Steven atau Yusuf Islam (penyanyi), Aminah asSilmi (tokoh pembebasan wanita Amerika Syarikat), Yvonne Ridley (bekas wartawan Daily Express di Britain). Khadija Abdul Qahar, Johann Wolfgang von Goethe, seorang penyair, novelis, penulis drama dan ahli falsafah tabii German, Profesor Ibrahim Stoke, seorang pakar kajibumi dan Halimah Stoke menganut Islam kerana bacaan dan penghayatan mereka terhadap al-Quran.

"Andaian yang boleh dibuat, mungkin ramai lagi di kalangan bukan Muslim yang belum berpeluang menghayati al-Quran bakal mengikuti langkah yang sama jika mereka berpeluang meneliti dan mengkaji al-Quran," kata Wan Haslan.

Bagaimanapun, kata beliau, beberapa pendekatan, kaedah, strategi atau teknik berkesan perlu diatur dalam usaha dakwah untuk kita memperkenalkan Islam kepada bukan Muslim melalui penghayatan terhadap al-Quran.